Pejuang tidak mirip parti Melayu lain - Utusan Malaysia

Pejuang tidak mirip parti Melayu lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Negeri Pejuang Wilayah Persekutuan, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan partinya tidak sama seperti parti-parti Melayu lain di negara ini.

Beliau mengakui, ramai yang mengkritik perjuangan partinya tanpa benar-benar memahami apa yang diperjuangkan oleh Pejuang.

“Ramai yang akan menyatakan Pejuang tiada bezanya dengan parti-parti lain. Ramai juga yang akan menunjuk kepada pengerusi (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan pimpinan tertinggi Pejuang dan mempersoal di mana perbezaannya. Ramai juga yang akan berseloroh menyatakan Pejuang hanya tangkap muat.

“Namun, jika dikaji mendalam, ternyata Pejuang berada dalam kelas tersendiri. Benar ia parti Melayu tetapi Pejuang tidak mirip parti Melayu lain. Parti lain mampu bercakap sahaja soal prinsip, maruah dan amanah tapi Pejuang lahir melalui amalan pimpinan utamanya yang mengotakan apa yang diungkapkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mendakwa parti-parti Melayu lain seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas hanya berebut jawatan dan kuasa tetapi perkara itu tidak berlaku pada Pejuang.

“Peristiwa Sheraton dan pengkhianatan mandat rakyat membabitkan pemimpin-pemimpin utama parti-parti Melayu ini semua parti dengan etos Melayu tetapi rakyat dan prinsip diketepikan demi kerusi panas Putrajaya. Sebaliknya pula berlaku pada pimpinan utama Pejuang. Mereka lepaskan jawatan, kuasa dan kedudukan kerana tidak sanggup membelakangkan mandat rakyat.

“Di sinilah kita lihat bezanya Pejuang dengan parti-parti politik lain. Maruah dan pegangan pada cogan kata kekal berprinsip bukan di bibir sahaja tetapi melalui perbuatan. Kepimpinan Pejuang boleh saja memilih kekal memegang kuasa jika bersedia bersekongkol dengan pemain-pemain khianat Sheraton,” katanya.

Malah, katanya, Pejuang satu-satunya parti pembangkang di Johor dan bukannya Pakatan Harapan (PH).

“Hasil memorandum persefahaman (MoU), PH tunduk layu tidak mampu melaksanakan tugas sebagai pembangkang hakiki.

“Dalam sistem Westminster, tugas pembangkang adalah sebagai semak imbang kepada polisi-polisi kerajaan bukan silent supporter,” katanya.

Justeru, katanya, kehadiran Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membawa nafas baharu dalam politik negara.

“Pejuang walaupun parti Melayu, dengan jelas menyatakan bahawa ianya adalah parti bagi seluruh rakyat Malaysia. Pejuang ditubuhkan untuk menentang salah guna kuasa, korupsi, membangunkan negara dan kebahagiaan rakyat.

“Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh itu sendiri bukti prinsip mengatasi kedudukan dan kuasa bila dia melepaskan jawatan untuk bersama Pejuang.

 

“Ini adalah nilai-nilai penting dalam politik: maruah, jati diri, setiakawan dan beramanah. Mengapa tidak Pejuang?” soalnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya