PCS sedia sertai GRS, kerjasama parti Semenanjung - Utusan Malaysia

PCS sedia sertai GRS, kerjasama parti Semenanjung

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas kehilangan sebahagian Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Parti Cinta Sabah (PCS) tampil menyatakan hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman berkata, parti itu bersedia untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bekerjasama dengan parti Semenanjung Malaysia.

Sekiranya GRS sudah didaftarkan sebagai gabungan parti politik maka, pada PRU-15, semua komponen parti dalam gabungan itu mungkin boleh menggunakan logo yang sama iaitu logo GRS.

Beliau berkata, parti-parti di Sabah perlu berjuang di bawah gabungan parti tempatan sekiranya ingin melihat perubahan berlaku.

Pada masa sama, sokongan dan kerjasama daripada parti Semenanjung Malaysia juga masih perlu bagi memastikan perjuangan menuntut hak-hak Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dijayakan.

Bekas Menteri Luar itu berkata, Sabah dan Sarawak tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan kerusi Parlimen sedia ada kerana gabungan kerusi di kedua-dua negeri itu hanya 56 kerusi iaitu 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.

Menurut Anifah, PCS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang memberi manfaat kepada parti dan juga rakyat Sabah.

“Kita tengok keadaan, sekiranya kerjasama atau gabungan yang dibentuk baik untuk parti kita dan juga rakyat maka, kita akan pertimbangkan.

“Kita tidak mahu diibaratkan seperti ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Biarpun kita sebuah parti yang kecil tapi, kita pun ada maruah,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Menjelang PRU-15, beliau berkata, PCS akan bertanding di kawasan yang berpotensi sahaja dan bukannya bertanding di semua 25 kerusi parlimen.

Bagi Parlimen Kimanis, beliau tidak berhasrat untuk bertanding sekiranya ada calon yang lebih baik dan mempunyai peluang untuk menang.

“Saya sedia memberi laluan sekiranya ada calon yang lebih baik daripada saya. Saya masih Presiden parti dan akan membantu dalam berkempen.

 “Namun, calon yang dipilih mestilah individu yang terbaik dengan keadaan politik pada masa ini. Tidak semestinya Presiden parti maka, kita perlu menjadi calon,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya