KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan kes Covid-19 yang semakin meningkat.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng dalam satu kenyataan ringkas menerusi laman sosial Facebook berkata, beliau tidak akan terkejut jika kes positif Covid-19 mencapai 50,000 sehari ketika hari pengundian nanti.
“Dengan lonjakan kes Covid yang membimbangkan di seluruh negara, saya amat menggesa SPR untuk menghasilkan SOP yang ketat di PRN Johor.
“Saya tidak terkejut kita mencapai 50,000 kes positif covid sehari pada pengundian, jika kita membenarkan orang ramai berkumpul untuk ceramah. Kesejahteraan negara tidak boleh dikompromi,” tulisnya hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15, semalam. – UTUSAN