IPOH: Sebanyak 24,538 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negeri ini dalam Op Selamat 17/2022 sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 4,320 saman atau 21 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 20,218 saman.
Katanya, saman yang dikeluarkan pada Op Selamat 17/2022 itu juga memperlihatkan memandu melebihi had laju merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 21,238 saman.
“Ini diikuti dengan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat sebanyak 147 saman, alat komunikasi (81), lorong kecemasan (37), garis berkembar (58) dan potong barisan (24).
“Sepanjang operasi itu dijalankan, empat lelaki ditangkap setelah didapati memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam tempoh Op Selamat 17 yang berakhir Ahad lalu, kadar kemalangan di negeri ini menurun sebanyak 15 peratus atau 198 kes berbanding Op Selamat 16.
Katanya, jumlah kemalangan pada Op Selamat 17 di Perak merekodkan 1,152 kes berbanding 1,350 kes sebelum ini.
“Bagaimanapun, terdapat peningkatan lima kes kemalangan maut iaitu sebanyak 14 kes berbanding sembilan kes tahun lalu.
“Peningkatan kemalangan maut itu berpunca daripada terbabas dengan tujuh kes, keluar simpang (2), bertembung (2), bergesel (1), langgar objek (1) dan cuai mengundur (1).
“Bagi kes kemalangan maut itu, 11 kes membabitkan penunggang motosikal dan masing-masing satu kes melibatkan pemandu kereta, lori dan pejalan kaki,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang pelaksanaan Op Selamat 17, tiada laporan diterima berkaitan kes pecah rumah melibatkan mereka yang telah mengisi borang maklumat balik kampung menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau muat turun melalui portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN