IPOH: Sebanyak 585 kes kemalangan dengan enam kematian direkodkan sepanjang Op Selamat 17/2022 sempena perayaan Tahun Baharu Cina di seluruh negeri ini yang masuk hari kelima, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Azizan Hassan berkata, jumlah kes kemalangan itu menyaksikan penurunan sebanyak empat peratus iaitu 608 kes dalam Op Selamat 16.
Bagaimanapun katanya, kes kemalangan maut dan kematian meningkat tahun ini berbanding dua kes direkodkan pada Op Selamat 16.
“Daerah Ipoh mencatat kes kemalangan tertinggi diikuti Taiping dan Tapah. Kebanyakan kes melibatkan kereta iaitu 425 kes, motosikal (56) dan kenderaan pelbagai guna (31).
“Bagi kemalangan maut pula, kereta dan motosikal menjadi penyumbang tertinggi dengan dua kematian di jalan negeri dan masing-masing satu di jalan bandaran, jalan persekutuan, lebuh raya dan lain-lain jalan,” katanya dalam sidang akhbar operasi bersepadu JSPT Perak ke atas bas ekpres di Terminal Meru Raya di sini malam tadi.
Menurut Azizan, sebanyak 9,634 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan sejak Op Selamat 17/2022 dilancarkan Jumaat lalu.
Katanya, antara kesalahan utama yang dikesan membabitkan memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat, tiada lesen dan insurans tamat tempoh.
“Berdasarkan pemantauan, lokasi kerap berlaku kemalangan yang telah dikenal pasti adalah 236 laluan di jalan bandaran, 126 di jalan persekutuan dan 103 di lebuh raya,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, sebanyak lapan saman dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 46 bas ekspres antaranya membabitkan kesalahan lampu brek tidak berfungsi dan tayar botak.
Katanya, JPJ turut mengeluarkan saman ke atas dua pemandu bas atas kesalahan gagal menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan lebih 300 kilometer.
“Statistik menunjukkan terdapat lapan kes kemalangan jalan raya dalam Op Selamat kali ini adalah melibatkan bas berbanding tiga pada Op Selamat 16.
“Jadi operasi khas yang diadakan ke atas bas ini adalah untuk memastikan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menggunakan barang terlarang seperti alkohol semasa memandu,” katanya.