SEREMBAN: Seramai 54 orang individu ditangkap polis selepas terbabit dalam aktiviti perjudian menerusi Op Limau yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan bermula 24 Januari lalu hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 20 serbuan telah dilakukan.
Ia melibatkan empat serbuan judi dalam talian, judi ekor haram (11 serbuan) dan judi dalam bangunan (lima serbuan).
“Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah akta membabitkan kesalahan judi dalam talian, loteri awam tanpa lesen dan judi dalam bangunan. Wang tunai yang berjaya dirampas dalam kesemua operasi ini pula ialah sebanyak RM5,598,” katanya dalam kenyataan hari ini
Muhammad Izzudin berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan judi dengan menghubungi Bilik Gerakan IPK Negeri Sembilan di talian 06-7682222 atau Hotline Polis IPK Negeri Sembilan di talian 018-6495106 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN