Kadang-kadang, luka paling dalam bukan datang daripada musuh, tetapi insan yang kita pilih sebagai teman hidup.
Demikian pengalaman rakan saya yang terjebak dengan pasangan narsistik selama lebih sedekad.
Pada awalnya, dia menyangka suaminya seorang penyayang dan mengambil berat, tetapi lama-kelamaan, wajah sebenar tersingkap.
Sedikit demi sedikit, rakan saya mula kehilangan dirinya. Dia tidak lagi bebas membuat keputusan.
Kalau dia menegur, suami memutar belit cerita hingga dia sendiri keliru, apakah benar kesalahan datang daripadanya.
Akhirnya, dia lebih banyak mengunci mulut kerana jika bersuara, sindiran dan makian yang menjadi habuan.
Itulah permainan emosi pasangan narsistik. Sentiasa memanipulasi hingga mangsa berasa lemah dan tidak berdaya.
Mereka juga kurang empati terhadap perasaan pasangan di samping mengongkong pergerakan dan pergaulan.
Malah, cinta juga bersyarat dengan kasih sayang hanya diberikan apabila kehendak dipenuhi.
Inilah hakikat hidup bersama seorang narsistik, indah di permukaan, tetapi penuh luka di dalamnya.
Rakan saya melalui kitaran yang sama berulang kali iaitu dilukai, dipujuk, diberi harapan lalu dilukai kembali.
Dari luar, ramai melihat rumah tangganya bahagia kerana ‘wajah’ suami yang lembut, penyayang dan bertanggungjawab.
Tetapi hanya dia yang mengenali topeng sebenar suami.
Hakikatnya ramai wanita di seluruh dunia yang terperangkap dalam perkahwinan sebegini.
Sebahagiannya masih bertahan kerana si narsistik pandai ‘berlakon’ menyesal dan berjanji akan berubah.
Tetapi janji-janji itu hanyalah sementara, sekadar helah untuk terus berkuasa.
Saya bukan mahu menakutkan tetapi berhati-hatilah jika pasangan terlalu mendominasi hingga anda hilang jati diri.
Cinta yang sihat seharusnya memberi ruang untuk anda berkembang, bukan meruntuhkan keyakinan dan semangat diri.
Pasangan yang ikhlas mencintai tidak akan berasa terancam, merendahkan pendapat atau menyalahkan anda setiap masa.
Mengenali ciri-ciri narsistik lebih awal boleh menyelamatkan anda daripada terus terjebak dalam hubungan yang menyakitkan.
Jika anda senasib dengan rakan saya, jangan bersedih atau menyalahkan diri.
Carilah sokongan sama ada daripada keluarga, rakan atau profesional agar tidak terus terperangkap. Kerana anda berhak untuk bahagia.
-Rosalinda Md. Said adalah wartawan Utusan Malaysia










