PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membetulkan keutamaan mereka selepas tempoh pandemik Covid-19 menunjukkan peningkatan kes penderaan domestik.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kecewa dengan tindakan timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff yang menyediakan video mengenai cara suami mendidik isteri termasuk menyebut mengenai perbuatan fizikal.
“Ketika pandemik Covid-19, kita menyaksikan peningkatan dalam penderaan domestik dengan jumlah kes yang dilaporkan sebanyak 9,015 kes dan kebanyakannya adalah penderaan terhadap wanita.
“‘Nasihat’ yang disebut oleh timbalan menteri ini adalah merugikan serta bertentangan dengan realiti dan keperluan semasa,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah memetik satu artikel daripada laman web Muslim Matters yang menjelaskan keperluan untuk memperbaharui etika dan peraturan Islam untuk kebaikan semua pihak.
“Mengenai perkahwinan khususnya, kita boleh menambah objektif kelima iaitu cinta. Sudah tiba masanya fiqh kita, etika dan peraturan Islam diperbaharui untuk menyelaraskan tingkah laku kita dengan nilai-nilai dan mutlak ini termasuk keadilan, belas kasihan, kebijaksanaan, kebaikan dan kasih sayang.
“Objektif mutlak ini adalah matlamat tetap yang menguasai cara yang boleh berubah dan kesejagatannya mengawal cara kita memahami syariah dalam konteks tempat dan masa yang berbeza,” katanya.
Terdahulu, Siti Zailah menerusi satu video berkata dalam Islam, untuk proses mendidik isteri, suami dibolehkan untuk memberi tekanan kepada isteri iaitu dengan mengasingkan tempat tidur.
Beliau turut berkata, sekiranya isteri masih tidak menuruti suami maka dibolehkan suami menggunakan sentuhan fizikal yang mendidik, lembut tapi tegas. Perkara itu mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak kerana dilihat seolah-olah membenarkan suami memukul isteri. – UTUSAN