SEREMBAN: Dua lagi kluster pendidikan dikesan di Negeri Sembilan yang membabitkan sebuah sekolah menengah di daerah Tampin dan prasekolah di daerah Jempol.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, dua kluster berkenaan ialah Kluster Jalan Bakti yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di Gemas dan Kluster Taman Serting Jaya membabitkan sebuah prasekolah di Jempol.
Menurutnya, bagi Kluster Jalan Bakti, ia bermula dengan saringan pelajar bergejala dan sehingga 12 tengahari semalam seramai 54 orang pelajar telah disaring.
“16 orang pelajar dikesan positif, manakala baki 38 orang pelajar lagi negatif. Kesemua kontak rapat kes telah dikenal pasti dan telah menjalani saringan dan mereka telah diberi surat kuarantin wajib.
“Bagi Kluster Taman Serting Jaya ia dilaporkan kelmarin melibatkan sebuah tadika di daerah Jempol. Ia bermula dengan saringan bergejala kakitangan di tadika tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, sehingga kelmarin sebanyak 25 kes positif telah dilaporkan dalam kluster tersebut iaitu enam orang kakitangan, 12 orang pelajar dan tujuh orang kontak rapat pelajar.