Nama calon Muda belum ditetapkan

Nama calon Muda belum ditetapkan

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) belum menamakan calon yang bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini. 

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Dian Lee Cheng Ling berkata, pengumuman mengenai calon itu hanya dibuat oleh Presiden parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak lama lagi.

Katanya, dia juga tidak mengetahui kerusi yang ditandingi Ahli Parlimen Muar itu pada PRN kali ini dan terserah kepada pucuk kepemimpinan Pusat menentukannya.

“Semua perkembangan terkini mengenai Muda bagi PRN Johor akan diumumkan oleh Pusat. Begitu juga dengan pembahagian tiga kerusi daripada PKR,” katanya ketika ditemui pemberita di Medan Selera Plaza Larkin, di sini hari ini. 

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Kelmarin , Muda memaklumkan bertanding enam kerusi DUN dalam PRN Johor hasil rundingan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. Muda akan bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Mengulas mengenai isu poster antikorupsi yang dikeluarkan Penerangan Muda Kedah, Dian Lee berharap isu itu tidak menjejaskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan PKR setelah permohonan maaf secara terbuka dilakukan.

Katanya, terdapat salah faham tentang itu tersebut dan pihak yang bertanggungjawab tentang perkara itu akan berdepan tindakan disiplin.

“Kita berharap perkara itu tidak menjejaskan hubungan dengan parti lain kerana itu bukanlah pendirian Muda secara umumnya,” katanya. 

Poster kontroversi yang tular itu dikatakan dihasilkan Penerangan Muda Kedah yang menunjukkan karakter empat individu memakai baju dengan warna rasmi parti politik iaitu Barisan Nasional (BN), PH, PKR dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Muda, Luqman Long hari ini memohon maaf atas sebuah poster kontroversi  yang tertera mesej yang berbunyi ‘Hentikan korupsi, Undi dan ubah persepsi’.

Menurut Luqman, pihaknya menyedari poster itu telah menimbulkan salah faham dan tidak mematuhi prinsip jelas dalam parti dan beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya