Najib tidak malu, ramai penyokongnya tidak malu - Tun M - Utusan Malaysia

Najib tidak malu, ramai penyokongnya tidak malu – Tun M

NAJIB TUN RAZAK dan DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan di blognya hari ini menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Ahli Parlimen Langkawi itu menyifatkan sesuatu yang sudah hilang di Malaysia adalah perasaan malu. 

“Najib tidak malu dan ramai penyokongnya tidak malu apabila disogok, apabila didapati bersalah. 

“Nilai hidup yang hodoh ini jelas ternampak apabila penyokong Najib berkata, ‘Apa perlu malu, (Najib) boss kita.’ Dengan itu diciumlah tangan Najib, pencuri Melayu Islam,” katanya di laman http://chedet.cc/, hari ini. 

Menurut Dr. Mahathir, apabila Najib ditegur kerana menyalah guna kuasa dan mencuri duit kerajaan, Ahli Parlimen Pekan itu akan cuba alih perhatian dari kesalahannya dengan menuduh bahawa beliau sebagai Perdana Menteri juga berbuat perkara yang sama.

Katanya, semasa Najib menjadi Perdana Menteri, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menyiasat kononnya beliau menyembunYikan kehilangan RM30 billion oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 

“Tetapi RCI tidak dapat bukti yang saya sembunyi kehilangan ini. Bank Negara tidak dikehendaki lapor kepada saya akaun Bank Negara. Adalah mustahil bank melapor kehilangan RM30 billion dan meminta saya rahsiakan kehilangan ini. Akaun Bank Negara diaudit dan audit tentu dapat kesan yang bank telah sembunyi kehilangan ini jika benar dan akan lapor. Jika tidak pihak audit tentu bersalah jika tidak melapor kehilangan ini.

“Sementara Najib didapati memasuk wang dalam akaunnya, tidak ada satu sen pun dari wang yang dikatakan disembunyi masuk akaun saya. Akhirnya Najib didapati bersalah kerana bukti menunjuk yang ia mempunyai hampir satu billion dalam akaunnya dan dia dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

“Tidak ada persamaan antara jenayah yang dilaku oleh Najib dengan kononnya saya sembunyi kehilangan duit Bank Negara sebanyak RM30 billion. 

“Dia merayu kepada Mahkamah Rayuan tetapi Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikena kepada Najib diteruskan,” katanya. 

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, kini Najib cuba memburukkan namanya kerana beliau menolak projek Forest City di Johor semasa dalam parti lawan yang bertujuan membangunkan sebuah bandar mewah dalam Selat Tebrau dengan menebus guna tanah.

Katanya, perancangan yang dilulus ialah untuk bangun bandar mewah yang mampu dibeli hanya oleh jutawan dari negara China, pemilikan tanah adalah secara kekal, bandar itu pula akan diberi taraf bebas cukai walaupun penduduk bukan warganegara Malaysia, tetapi mereka bebas ke tanah besar Malaysia atau ke Singapura.

“Saya telah lawat projek ini. Pekerjanya kebanyakan dari China. Berduyun-duyun pelawat datang dari China semasa saya buat lawatan. Mereka datang untuk membeli rumah-rumah mewah yang akan dibina. Pelawat warga Malaysia tidak pun sampai dua puluh (orang). Mereka adalah pelancong yang ingin lihat taman yang cantik yang sudah siap dibina.

“Seperti biasa jika projek ini ditamatkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ganti rugi beberapa billion ringgit perlu dibayar. Kerana Najib telah hutang berbillion ringgit, kerajaannya terpaksa mendapat bantuan swasta sebanyak RM2 billion untuk bayar faedah hutang. 

“Yang mampu dibuat oleh Kerajaan PH ialah menasihat Country Garden supaya rumah kos rendah yang boleh dibeli oleh orang Melayu dan Cina Malaysia perlu disediakan. Country Garden akur.

“Zuraida Kamaruddin, sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan majlis perasmian Dasar Komuniti Negara pada 17 Februari 2019. Saya dijemput untuk sampaikan sijil kepada antara lain Forest City kerana mengubah perancangan mengikut kehendak Kerajaan Malaysia. Ia bukan pengiktirafan projek Forest City yang telah pun dilulus oleh Kerajaan Najib Razak,” jelasnya. 

Mengulas mengenai projek Keretapi Pantai Timur, sekali lagi ia tidak dapat ditamat kerana perjanjian telah dibuat, namun yang boleh dibuat adalah mengurang kos projek dengan Kerajaan PH dapat menyelamatkan RM20 billion melalui rundingan dengan pihak kontraktor.

“Hasil dari pemerintahan Kerajaan Najib, hutang negara melebihi RM1 trillion. Masih ada tuduhan yang Najib telah seleweng berbillion ringgit lagi dari wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Najib juga dapat RM150 juta yang dirampas di Pavillion yang dipercayai milik 1MDB.

“Tetapi mahkamah buat keputusan untuk beri balik kepada Najib wang ini dan lain-lain barang kerana orang ramai diberitahu kerajaan tidak dapat bukti yang duit itu duit 1MDB, iaitu duit kerajaan,” katanya. 

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, meskipun jelas Najib memiliki berbillion ringgit, namun Najib masih buat permohonan supaya dihadiahkan tanah dan rumah yang bernilai RM100 juta.

“Selain dari membeban kerajaan sekarang dan akan datang dengan hutang berbillion ringgit apakah yang dilakukan oleh Najib yang melayakkannya diberi hadiah RM100 juta ringgit.

“Perdana Menteri lain tidak diberi hadiah oleh kerajaan sebanyak ini. Hingga sekarang kerajaan belum batal keputusan Kabinet untuk memberi hadiah ini. Najib kononnya tolak tetapi ia tetap akan terima akhirnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya