PETALING JAYA: Pengundi Johor perlu menolak pakatan parti politik yang pernah gagal memimpin Malaysia sehingga negara menuju kehancuran.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Annuar Nasarah berkata, rakyat perlu ingat bahawa PKR, DAP, Amanah serta Muda termasuk Pejuang dan Warisan pernah bersama membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan PH yang mereka pimpin gagal. Rakyat rugi dan Malaysia yang kita cintai hancur kerana mereka.
“Lalu apakah rakyat Johor mahu memberi mandat kepada mereka memerintah Johor sekali lagi?” Soal beliau dalam Facebook beliau hari ini.
Semalam Amanah dan DAP mencapai persetujuan menjadi rakan strategik bersama Muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
Hasil kesepakatan ketiga-tiga parti tersebut, Muda bertanding di enam kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
Dalam pada itu, Shamsul Annuar berkata, kestabilan akan wujud jika kerajaan dianggotai parti sehaluan dan bersefahaman yang sentiasa berfikir demi rakyat.
Justeru beliau yakin anak muda dan rakyat Johor mahu masa depan yang terbaik dan mahu sebuah kerajaan yang stabil bagi terjamin masa depan.
“Kerana itu BN pilihan terbaik. BN dianggotai UMNO, MCA, MIC, PBRS dan parti For BN yang ternyata ikhlas, sehaluan dan mengutamakan rakyat.
“Jadi pilihlah BN, tolaklah gabungan parti yang ternyata tidak ikhlas untuk rakyat dan Negeri Johor,” jelasnya. – UTUSAN