Maut ditimpa kaca 5.6 tan - Utusan Malaysia

Maut ditimpa kaca 5.6 tan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang pemuda maut selepas ditimpa kotak berisi kaca seberat 5.6 tan metrik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Lipat Kajang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Muhammad Umar Mohd. Shahid, 23, maut di lokasi akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan. 

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja mengikat kotak kaca di dalam kontena. 

“Ketika membuat kerja, mangsa terlanggar kayu penahan menyebabkan kaca seberat 5.6 tan menghempapnya. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di pelbagai anggota badan termasuk kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, ketika insiden berlaku mangsa juga berada di penghujung syifnya yang tamat pada pukul 8 pagi. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa telah dikeluarkan daripada serpihan kaca dengan bantuan pasukan bomba. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba Rahizam Ruzali berkata, operasi mengeluarkan mangsa telah dilakukan sepasukan 12 anggota termasuk pegawai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN