Maik perkenal permohonan bantuan e-Agihan - Utusan Malaysia

Maik perkenal permohonan bantuan e-Agihan

TENGKU Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz melancarkan sistem e-Agihan pada Majlis Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Maik Bagi Tahun 2021 di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melaksanakan e-Agihan iaitu sistem permohonan bantuan dalam talian bagi menggantikan sistem sedia ada yang menggunakan borang manual, berkuat kuasa hari ini.

Ia melibatkan permohonan Bantuan Tetap Bulanan, Bantuan Pembangunan Asnaf, Bantuan Am, Bantuan Rawatan Perubatan, Bantuan Persekolahan, Bantuan Melanjutkan Pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Pelajar Pondok dan Tahfiz, Bantuan Hari Raya, Skim Bantuan Pemulihan Rumah Kediaman dan Bantuan Rumah Kediaman.

Turut terlibat, permohonan Biasiswa Tengku Anis Maik, Bantuan Rawatan Dan Perubatan (Projek Khas), Program Pengajian A Level dan Ijazah Dalam dan Luar Negara, Program Pengajian Diploma dan SKM, Program Biasiswa Sultan Ismail Petra, Bantuan Kepada Gharimin, Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP) dan Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke IPT – Fisabilillah.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, orang ramai boleh mengaksesnya menerusi http://eagihan.e-maik.my dan dari situ, mereka boleh membuat pilihan bagi memohon jenis bantuan yang diperlukan.

“Permohonan akan disaring dan ditapis melalui maklumat Had Kifayah dan syarat-syarat kelayakan.

“Pemohon yang melepasi saringan barulah dikategorikan layak untuk meneruskan permohonan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan e-Agihan serta Pembentangan Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan Maik Bagi Tahun 2021 di sini hari ini.

Hadir sama Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab. Rahman.

Tengku Mohamad Rizam berkata, permohonan akan mengambil kira pengisian maklumat permohonan yang lengkap termasuk perlu memuat naik maklumat secara digital mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Pemohon akan menerima nombor rujukan permohonan melalui notifikasi sistem pesanan khidmat ringkas (SMS) dan akan disemak serta diproses secara dalam talian oleh pegawai dan kakitangan Maik.

“Status permohonan akan berubah mengikut proses yang terlibat iaitu proses siasatan, proses semakan, proses kelulusan dan proses bayaran. Setiap proses tersebut boleh dijejak secara atas talian oleh pemohon berdasarkan nombor rujukan yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, objektif sistem e-Agihan adalah bagi memudahkan urusan permohonan, semakan dan kelulusan bantuan, mengurangkan penggunaan kertas, mempercepatkan tempoh permohonan serta kelulusan bantuan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan Maik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya