KUBANG PASU: Polis memburu seorang lelaki kerana disyaki mencederakan isterinya dengan menumbuk belakang badan dan menarik rambut wanita berkenaan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu yang tular di media sosial, dipercayai di Tasik Bandar Darul Aman di sini kira-kira pukul 7.30 petang.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki tersebut yang berusia 33 tahun berang kerana wanita berkenaan enggan kembali kepadanya ketika mereka kini dalam proses untuk bercerai dan tinggal berasingan sejak 8 November 2021.
“Semasa kejadian, wanita tersebut dipercayai pergi ke tasik tersebut untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.
“Bagimanapun suspek dipercayai memukul wanita tersebut menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong. Orang awam yang datang membantu menghalang suspek memukul wanita tersebut dan suspek kemudian melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan kejadian itu katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di belakang pasar Changlun kira-kira pukul 1 pagi semalam namun mendapati premis tersebut berkunci serta tidak berpenghuni.
“Tindakan mengesan suspek masih giat dijalankan. Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan,” katanya.
Tambahnya, siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Orang awam yang melihat kejadian itu diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Mereka memiliki sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah di Kubang Pasu diminta menyalurkan maklumat tersebut di talian 04-9172222.