Lebih 300 ahli Bersatu Tanjung Piai keluar parti sertai Warisan - Utusan Malaysia

Lebih 300 ahli Bersatu Tanjung Piai keluar parti sertai Warisan

HISHAMUDDIN Busri (depan kanan) menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Junz Wong dalam sidang akhbar keluar Bersatu di Pekan Nanas, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sementara semua pihak sedang menantikan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menerima satu lagi perkhabaran negatif.

Kali ini, lima cawangan Bersatu daripada Bahagian Tanjung Piai terbubar apabila ketua cawangan beserta seramai lebih 300 ahlinya bertindak keluar parti serta merta, malam semalam.

Bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Hishamuddin Busri berkata, tindakan keluar parti beramai-ramai itu dibuat kerana merasakan Bersatu sudah kehilangan hala tuju.

Menurut beliau, pihaknya juga merasakan parti berkenaan sudah tidak mempunyai masa depan dalam kancah politik tanah air.

“Kami tidak mahu memburuk-burukkan parti yang pernah kami dokong, tetapi hala tuju parti sudah tidak selari dengan matlamat dan perjuangan kami yang mahukan terbaik buat masyarakat.

“Surat keluar parti secara rasmi akan diserahkan dalam waktu terdekat kepada kepimpinan Bersatu di peringkat bahagian,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Pekan Nanas, di sini.

Hishamuddin beserta semua individu yang keluar Bersatu melibatkan Cawangan Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Ladang Sos Malaya, Melayu Raya dan Lubuk Sawah turut menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Naib Presidennya, Datuk Junz Wong.

Tambah Hishamuddin yang juga bekas Ketua Bersatu Cawangan Pekan Nanas Timur, mereka juga sudah membuat keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Kami sudah berbincang berhubung perkara ini sejak kira-kira tiga bulan lalu, dimana tindakan ini diambil secara bersama tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

“Kami adalah orang-orang yang mempercayai perjuangan politik untuk bangsa dan masyarakat, kami sudah kaji semua parti politik yang ada dan Warisan dilihat merupakan pilihan terbaik.

“Kami percaya perjuangan politik sudah tidak boleh dibuat berdasarkan sesuatu kaum sahaja sebaliknya ia perlu melibatkan semua kaum, seperti yang diperjuangkan Warisan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya kini akan berusaha untuk menggerakkan Warisan di kawasan Tanjung Piai bagi membolehkan parti itu terus berkembang di Semenanjung, khususnya di Johor. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya