Laluan pintas samseng jalanan disekat, 23 motosikal disita - Utusan Malaysia

Laluan pintas samseng jalanan disekat, 23 motosikal disita

ZAFRI Zolkapli ketika mengetuai Op Samseng Jalanan bagi membanteras aktiviti 'mat rempit' di Jalan Aziz Ibrahim, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Cubaan sekumpulan penunggang motosikal meloloskan diri menggunakan laluan pintas di Jalan Aziz Ibrahim menghala ke Queensbay, Bayan Baru di sini akhirnya memakan diri apabila ditahan polis awal pagi tadi.

Mereka terdiri daripada lebih 20 lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira pukul 3.30 pagi.

Operasi tersebut diketuai Ketua JSPT IPK negeri, Superintenden Zafri Zolkapli bersama tiga pegawai kanan dan 18 anggota termasuk dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dan Timur Laut.

Difahamkan, laluan jambatan singkat itu sering digunakan kumpulan pelesit rempit untuk ke Pantai Seagate selepas beredar dari lokasi tumpuan di  Sungai Nibong, Sungai Dua dan Batu Uban.

Jalan Aziz Ibrahim juga digunakan kumpulan tersebut ketika dikejar polis berikutan mempunyai banyak akses ke kawasan perumahan bertingkat di situ.

Zafri memberitahu, operasi tersebut dijalankan setelah pihaknya menerima banyak aduan berhubung kegiatan samseng jalanan yang menganggu ketenteraman awam selain menunggang secara merbahaya.

Menurutnya, kehadiran kumpulan motosikal itu juga dikatakan sering berbuat bising terutama pada malam minggu dan cuti umum.

“Dalam operasi ini, kita menyita sebanyak 23 buah motosikal dipercayai tidak mengikut peraturan spesifikasi yang ditetapkan. Selain itu, kita turut menemukan satu botol ketum di dalam beg salah seorang penunggang motosikal terbabit,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zafri menasihatkan kumpulan samseng jalanan di negeri ini supaya menghentikan perbuatan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

“Polis akan meneruskan Op Samseng Jalanan pada setiap malam minggu dan cuti umum bagi mengekang aktiviti yang dilakukan mereka,” tambahnya.

Kelmarin, seramai empat lelaki dipercayai pelesit rempit diberkas manakala 43 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan di  daerah Barat Daya dan  Seberang Perai Utara (SPU) di sini mulai pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya