KPDNHEP, MAFI bincang isu ayam, telur

KPDNHEP, MAFI bincang isu ayam, telur

ROSOL Wahid (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke kedai serbaneka stesen minyak 5Petrol Batu Balai di Jerantut, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengatasi masalah harga dan bekalan telur yang berkurangan pada ketika ini. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian itu memandang serius perkara berkaitan bekalan telur dan harganya terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti. 

Katanya, ia berikutan akan berlaku pertambahan permintaan memandangkan ramai peniaga dan pengusaha menjalankan perniagaan makanan pada musim berkenaan. 

“Kita akan berbincang bersama pihak MAFI bagi memikirkan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ini dan kita akan memberi penekanan terhadap isu harga dan bekalan telur. 

“Jika harga sudah ada tetapi bekalan tiada, akan timbul juga masalah. Jadi kita akan pastikan kedua-dua isu ini dapat diselesaikan supaya tidak timbul sebarang masalah di masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan stesen minyak 5Petrol Batu Balai, di sini hari ini. 

Mengulas isu kenaikan harga dedak ayam, Rosol berkata, tidak dinafikan dengan kenaikan harga dedak akan meningkatkan harga ayam di pasaran.

“Kita kawal harga ayam dengan menetapkan harga siling RM8.90 di mana pihak MAFI membekalkan daging ayam import bagi menstabilkan harga daging ayam di pasaran. Saya difahamkan setakat ini sebanyak 29 permit daging ayam import telah dikeluarkan oleh MAFI dalam usaha mengimbangkan harga ayam di pasaran,” katanya.

Beliau dalam pada itu memandang serius tindakan peniaga yang menaikkan harga melebihi dari kadar yang ditetapkan.

“Kita akan mengkaji dari sudut pengeluar, pemborong dan pembekal punca sebenar sekiranya berlaku peniaga yang menaikkan harga barangan lebih dari sepatutnya,” katanya.

Difahamkan semalam sebanyak 2,410 premis seluruh negara negara diperiksa bersempena pelaksanaan Penentuan Harga Ayam dan Telur Ayam di mana sebanyak tiga kes dikenal pasti berkaitan kesalahan gagal letak tanda harga khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN