PETALING JAYA: Rangkaian restoran ayam penyet terkenal dari negara seberang mengenakan caj kicap manis sebanyak RM1 kepada setiap pelanggan yang menikmati hidangan di restoran atau pesanan bawa pulang.
Menerusi satu notis yang dimaklumkan kepada pelanggan, caj tersebut mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
Jelas restoran itu, kicap manis tidak lagi diberikan secara percuma mengikut setiap set yang ditempah pelanggan.
“Ini adalah keputusan sukar yang terpaksa dibuat disebabkan kami berdepan kesukaran menguruskan kos bahan mentah. Semua pembekal mengenakan caj kenaikan terhadap semua kos bahan mentah secara global.
“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Kami sangat hargai atas kefahaman anda berhubung isu ini supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap pelanggan,” kata kenyataan tersebut.
Utusan Malaysia berusaha mendapatkan komen pelanggan mengenai kenaikan harga tersebut yang dikatakan tidak munasabah.
Menurut Suhana, dia merasakan caj tersebut sepatutnya hanya dikenakan sebanyak 50 sen berdasarkan kuantiti yang diberikan.
“Pihak restoran hanya meletakkan separuh daripada bekas kecil yang diberikan kepada setiap pelanggan.
“Saya rasa RM1 agak melampau sebab kalau kita beli sebotol kicap bersaiz 650 mililiter baru bawah RM10,” katanya. – UTUSAN