Ekonomi Malaysia selari dengan jangkaan

Ekonomi Malaysia selari dengan jangkaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2025 kekal kukuh meskipun menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar berkembang sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun, menurut TA Research.

Menurut firma penyelidikan itu, angka ini sedikit di bawah jangkaan pasaran sebanyak 4.5 peratus, namun sejajar dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan ramalan pakar ekonomi.

“Pertumbuhan ini menunjukkan penurunan berbanding pertumbuhan suku keempat 2024 yang disemak semula kepada 4.9 peratus tahun ke tahun (sebelumnya 5.0 peratus), menandakan momentum yang lebih perlahan ketika negara memasuki 2025,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Menurut data terkini, trend penyederhanaan ini dijangka berterusan pada suku kedua, disokong oleh petunjuk seperti Indeks Petunjuk Awal (LI) dan Indeks Serentak (CI). 

LI meningkat 0.5 peratus tahun ke tahun kepada 112.5 mata pada Mac 2025, namun susut 0.1 peratus secara bulanan. 

Sebaliknya, CI naik 1.4 peratus tahun ke tahun, tetapi juga mencatatkan penurunan bulanan sebanyak 0.2 peratus akibat kelemahan dalam kapasiti penggunaan sektor pembuatan.

TA Research menjangkakan pertumbuhan pada suku kedua akan lebih sederhana berikutan asas perbandingan tinggi daripada pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun lalu. 

Tambahan pula, data perdagangan bagi April menunjukkan eksport bersih menyusut sebanyak 33 peratus tahun ke tahun, walaupun pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun, berpotensi menyumbang positif kepada sektor pertanian.

Setakat ini, indikator utama untuk bulan Mei seperti Indeks PMI Pembuatan kekal lemah meskipun sedikit meningkat kepada 48.8 mata. 

Ini menunjukkan momentum sektor pembuatan masih belum pulih sepenuhnya, dengan prestasi suku kedua dijangka hampir sama dengan suku pertama.

Dalam pada itu, unjuran rasmi Bank Negara Malaysia bagi pertumbuhan KDNK 2025 kekal antara 4.5 hingga 5.5 peratus namun bank pusat memberi isyarat semakan semula mungkin dilakukan bergantung kepada perkembangan semasa, terutamanya dalam sektor perdagangan global. 

Buat masa ini, unjuran pertumbuhan penuh tahun ini dikekalkan pada 4.4 peratus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×