Kerja pengerukan di alur pelayaran Kuala Perlis disambut baik

Pengerukan di alur pelayaran Kuala Perlis disambut baik

KERJA-KERJA pengerukan di alur pelayaran dan lembangan Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Langkah Kementerian Pengangkutan menjalankan kerja pengerukan di alur pelayaran dan lembangan Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis, Perlis bermula kelmarin disambut baik oleh Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. yang menyediakan perkhidmatan feri ke Langkawi.

Bagaimanapun, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi konsortium itu, Kapten Baharin Baharom berkata, tindakan tersebut perlu disusuli dengan projek jangka masa panjang bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan membina jeti baharu seperti di Kuah, Langkawi yang kedudukannya melunjur ke tengah laut.

“Sebenarnya kerja-kerja pengerukan ini merupakan tindakan sementara bagi menyelesaikan isu yang berlarutan sejak sekian lama. Jika tidak disusuli projek jangka masa panjang, pengerukan ini tidak akan menyelesaikan masalah dan mungkin boleh menjadi satu pembaziran.

“Pertamanya, kerajaan mungkin boleh bina jeti baharu dengan mengambil model jeti di Terminal Feri Penumpang di Kuah, Langkawi. Keduanya, kerajaan mungkin boleh pertimbangkan untuk membina benteng penahan lumpur dari Pulau Ketam berdekatan sini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengumumkan, kementeriannya menerusi Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengambil langkah serta merta bagi melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pengerukan, melalui Perolehan Darurat di lembangan jeti terminal penumpang tersebut.  

Menurut Ka Siong, kerja-kerja pengerukan itu sudah dimulakan pada 6 Februari lalu dan akan berakhir pada 20 Februari depan.

Pada 2 Februari lalu, berlaku kekecohan di Terminal Feri Penumpang Langkawi setelah feri yang sepatutnya bergerak pada pukul 2.30 petang, terpaksa ditunda hingga ke pukul 10.30 malam berikutan paras air surut, selain paras lumpur yang tinggi di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis.

Mengulas lanjut Baharin berkata, pembinaan benteng penahan lumpur itu turut memiliki faedah lain kerana kawasan terlibat turut boleh dijadikan sebagai kawasan riadah buat pelancong dan pengunjung.

“Menerusi langkah tersebut juga, kerajaan mungkin dapat membangunkan pusat komersial yang boleh membuka peluang kepada pelaburan baharu di Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya