Kerajaan belum putuskan lanjut subsidi ayam, telur - Utusan Malaysia

Kerajaan belum putuskan lanjut subsidi ayam, telur

RONALD Kiandee (kanan) menurunkan tandatangan di papan tanda Projek Smart SBB MADA Bernas di Kampung Tok Jering, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan belum memutuskan untuk melanjutkan pemberian subsidi ayam dan telur kepada penternak yang tamat pada 4 Jun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sebarang keputusan berhubung pemberian subsidi tersebut hanya akan dibuat oleh kerajaan berdasarkan situasi harga serta bekalan bahan mentah itu.

“Keputusan tentang menyambung subsidi ini akan diputuskan kerajaan kerana ini adalah kali pertama kita beri subsidi kepada penternak ayam daging dan ayam telur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Smart SBB di kawasan Muda di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) C-IV Kangkong di sini hari ini.

Jelas beliau, pemberian subsidi dalam tempoh empat bulan bermula 5 Februari itu melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan lebih RM500 juta.

“Pemberian subsidi ini adalah untuk memastikan harga ayam di bawah RM8.90 sekilogram sedangkan harga sepatutnya boleh mencecah RM9.90,” katanya.

Sementara itu, menurut Ronald, kerajaan dalam proses mengolah dasar baharu yang lebih agresif bagi industri penanaman jagung secara meluas di negara ini sebagai langkah mengawal harga ayam.

“MAFI lihat dasar untuk menggalakkan penanaman jagung ini penting dan perlu diutamakan bagi mengelak kita terus bergantung kepada makanan ternakan yang diimport dari luar negara.

“Industri penternakan kita bergantung kepada makanan import yang berdasarkan harga pasaran antarabangsa,” katanya.

Kabinet sebelum ini bersetuju memberi subsidi ayam dan telur kepada penternak bermula 5 Februari lalu hingga 4 Jun depan iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Pemberian subsidi sebanyak RM0.60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam adalah selepas mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kg.

Selain itu, bagi subsidi telur, Kabinet bersetuju memberi sebanyak RM0.05 sen sebiji untuk semua kategori. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya