Kad Warga Asing bukan penyelesaian terbaik-Jeffrey Kitingan

Kad Warga Asing bukan penyelesaian terbaik-Jeffrey Kitingan

JEFFREY KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak senada dengan cadangan kerajaan persekutuan yang ingin memperkenalkan Kad Warga Asing untuk warga asing yang tidak berdokumen di Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan tidak melihat pengeluaran kad itu mampu menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini sebaliknya, akan memburukkan lagi keadaan sedia ada.

Cadangan itu tidak munasabah kerana ia tidak mampu menyelesaikan apa-apa masalah.

“Mungkin kad itu lebih baik berbanding Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh kerajaan Warisan kerana PSS bertujuan memberi kerakyatan kepada PATI manakala, kad warga asing tidak. Namun, pemberian kad ini masih tidak akan menyelesaikan masalah PATI di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, PATI yang masuk secara haram ke negara ini harus ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang kemudian diusir keluar daripada Sabah.

“Mereka tidak seharusnya diberi layanan istimewa kerana mereka telah melanggar undang-undang Imigresen dan melakukan jenayah kerana memasuki negara ini secara haram.

“Jika kita masuk ke negara mereka dengan cara begitu, kita juga akan dikenakan tindakan, dipenjara dan kemudian diusir keluar tanpa diberikan dokumen pengenalan diri dan dibenarkan untuk bekerja.

“Kita mempunyai undang-undang iaitu mana-mana individu yang masuk ke negara ini secara haram harus dihadapkan ke muka pengadilan dan diusir pulang.

“Memberi mereka dokumen pengenalan diri tidak akan menyelesaikan masalah dan tidak memberi jaminan bahawa mereka tidak akan mengulangi jenayah yang sama. Ia tidak akan selesaikan apa-apa masalah,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, semua warga asing yang berada di negara ini seharusnya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah iaitu dokumen yang dikeluarkan oleh negara asal mereka.

Malaysia ini tidak sepatutnya disusahkan dan dibebani dengan masalah untuk mengeluarkan dokumen bagi mengenal pasti PATI yang berada di negara ini.

“Sesiapa yang memasuki sempadan negara kita tanpa dokumen perjalanan yang sah perlu diusir keluar. Tiada jalan lain untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, kerajaan seharusnya membantu orang asal Sabah terutama yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Mereka ini berdepan kesukaran untuk datang ke bandar bagi menguruskan sijil lahir anak masing-masing.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN