JPN NS jangka terima 2,000 permohonan hilang dokumen pengenalan diri akibat banjir - Utusan Malaysia

JPN NS jangka terima 2,000 permohonan hilang dokumen pengenalan diri akibat banjir

NORJUANITA Baharudin (kanan) ketika melihat pelaksanaan Program Mekar Prihatin Pasca Banjir di Padang Awam Kampung Pasir Besar, Gemas, Tampin hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Bagi membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri dalam bencana tersebut baru-baru ini,Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif  turun ke lokasi yang dilanda banjir.

Pengarahnya, Norjuanita Baharudin berkata, program berkenaan dilaksana menggunakan khidmat Mobile Bas JPN bagi memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri mereka tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat JPN.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya menjangkakan menerima keseluruhan hampir 2,000 permohonan membabitkan mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri hasil program yang diadakan tersebut.

“Kami jangka 300 permohonan diterima di kawasan Gemas, Tampin untuk program selama dua hari yang bermula hari ini di Kampung Pasir Besar dan esok di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah. 

“Permohonan selebihnya pula di tiga lokasi di daerah Jelebu yang akan diadakan pada 18 hingga 20 Februari ini bertempat di Felda Pasoh 1, Kampung Chennah, dan Kuala Klawang.

“Mangsa banjir boleh mendapatkan khidmat secara percuma untuk penggantian dokumen pengenalan diri seperti MyKad, MyKid, surat beranak, sijil perkahwinan dan sijil kewargenegaraan,” katanya sempena Program Mekar Prihatin Pasca Banjir di Padang Awam Kampung Pasir Besar, di sini hari ini.

Sementara itu, Norjuanita berkata, sepanjang tahun lalu lebih 1,000 dokumen pengenalan diri dilaporkan hilang antaranya disebabkan kes bencana, jenayah dan kecuaian.

“Antara kes yang kami terima adalah disebabkan kecuaian sendiri seperti membiarkan MyKad di dalam kenderaan untuk keluar ke kedai mahupun masjid dan kemudiannya kenderaan dipecahkan mengakibatkan MyKad mereka itu hilang,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya