Jemaah terbeban jika kena tambah kos insurans - Utusan Malaysia

Jemaah terbeban jika kena tambah kos insurans

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Bakal jemaah umrah di negeri ini meluahkan kebimbangan sekiranya dikenakan caj insurans perlindungan tambahan termasuk keperluan rawatan, isolasi dan kuarantin Covid-19 bagi perjalanan ibadah umrah bermula 8 Februari ini.

Itu antara prosedur operasi standard (SOP) baharu yang digariskan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) termasuk jemaah perlu lengkap vaksinasi serta wajib mengambil dos penggalak.

Bakal jemaah umrah, Fatimah Abdullah, 56, berharap tiada sebarang pertambahan kos ibadah umrah mahupun kenaikan caj insurans sejurus selepas SOP baharu itu dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusan nanti.

Menurutnya, kenaikan kos perlindungan insurans terutama melibatkan jangkitan Covid-19 sepatutnya tidak berlaku di saat bakal jemaah umrah kini sedang membilang hari untuk menjejak kaki ke Tanah Suci.

“Biarpun saya belum dimaklumkan mengenai SOP keperluan insurans perlindungan kesihatan terutama berkaitan Covid-19, sudah pastinya perkara itu menimbulkan keresahan tentang kos tambahan yang bakal dikenakan.

“Saya sudah menjelaskan kos pembiayaan ibadah umrah sebanyak RM8,690 dua tahun lalu dan dijadual berlepas ke sana (Tanah Suci) pada 28 Februari ini.

“Menjadi satu bebanan kepada kami sekiranya berlaku kenaikan kos tambahan di saat akhir dan berharap perkara ini tidak berlaku. Sedangkan pakej umrah itu sudah termasuk dengan kos perlindungan insurans perjalanan jemaah nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Fatimah memberitahu, setakat ini, pihak agensi umrah terbabit hanya berkongsi maklumat tentang tempoh kuarantin bagi pengembara yang tiba di Malaysia yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, seorang lagi bakal jemaah umrah, Rashidah Ahmad, 52, merayu kerajaan bertegas dalam keputusan penetapan SOP baharu itu terutama berhubung pengambilan vaksinasi lengkap para jemaah umrah.

“Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti yang berlaku sebelum ini apabila ada dalam kalangan jemaah umrah dikesan tidak menerima suntikan vaksin.

“Mohon kali ini pihak bertanggungjawab lebih serius dalam menangani perkara tersebut serta dalam aspek kepatuhan SOP baharu,” jelasnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tiada perubahan tarikh bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan bermula 8 Februari ini seperti yang dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu.

Terdahulu, pada 29 Januari lalu, MOTAC menggariskan tiga SOP baharu bagi perjalanan jemaah umrah untuk menunaikan ibadah itu yang akan bermula 8 ­Februari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN