Jangan berpaling tadah soal agih kerusi - PN

Jangan berpaling tadah soal agih kerusi – PN

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) menasihatkan ahli dan barisan kepemimpinan di semua peringkat parti komponen tidak berpaling tadah sekiranya tidak berpuas hati dengan soal pengagihan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, sebarang tindakan negatif yang diambil disebabkan hal remeh seperti itu perlu turut mengambil kira kesan jangka panjang kepada keperibadian mereka.

“Adalah merugikan jika keluar parti kerana hal remeh sedangkan mereka sebenarnya bersekongkol dan tanpa disedari menggadai maruah menjadi sebahagian pihak yang merosakkan sejarah politik negara serta memalukan Malaysia di seluruh dunia.

“Musuh sebenar yang dihadapi PN bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara. 

“Justeru, PN berharap jangan ada ahli dan pemimpin parti ini terpedaya dengan apa juga bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, ahli PN adalah pejuang yang mahu prinsip dan disiplin diteruskan bagi memastikan pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara menjadi lebih baik demi kemakmuran negara.

“Mereka juga diingatkan jangan mudah terpengaruh dakyah yang tersebar konon ada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti kerana itu semata-mata cubaan permainan parti lawan untuk mengelirukan kita.

“Jadi, saya memohon sokongan ahli parti dan seluruh Bangsa Johor untuk menyokong PN yang sedang menerajui proses ini bagi membawa Johor menuju kehidupan era kemajuan yang gemilang, harmoni dan makmur,” ujarnya.

Semalam, Mohd. Solihan turut mengelak pihaknya tidak terlibat dengan khabar angin bahawa empat Ketua Bersatu Bahagian di negeri ini akan bertindak keluar parti dalam waktu terdekat. Beliau sebaliknya berkata akan kekal setia dengan parti itu kerana beliau antara individu yang bertanggungjawab menubuhkan parti berkenaan di negeri ini.

Sementara itu, Mohd. Solihan turut menegaskan gabungan itu semakin diterima dan mendapat sokongan daripada pengundi baharu termasuk generasi muda negara ini kerana menyakini prinsip perjuangan parti yang diterajui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN