‘Hanya sesi bergambar’ - Utusan Malaysia

‘Hanya sesi bergambar’

TANGKAP layar hantaran akaun Facebook  Ratu Kaneka Hyang Isana yang berkongsikan beberapa gambar yang dimaklumkan sebagai Majlis Pertabalan Raja Segala Raja Sedunia di kaki Bukit Salai, Jelebu, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Hantaran tular di Facebook sejak semalam mengenai satu majlis yang didakwa sebagai majlis pertabalan raja yang berlaku kaki Bukit Salai, Ulu Jelebu dekat sini hanyalah melibatkan sesi bergambar.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Ulu Jelebu, Mohd. Khidzir Abd. Kadir, 60, berkata, kejadian tersebut memang berlaku di kaki bukit tersebut yang terletak di dalam Kampung Orang Asli Baner Tengkoh.

Beliau yang turut hadir menyaksikan perkara itu berkata, kejadian tersebut berlaku kelmarin iaitu kira-kira pukul 3.30 petang dan melibatkan seramai sembilan orang sekeluarga.

“Daripada pemerhatian saya, ia tidak melibatkan apa-apa upacara atau ritual, ia hanya sesi bergambar sekitar 10 minit sahaja. Mereka terdiri daripada sembilan sekeluarga.

“Mereka bukan orang di sini, saya difahamkan dari Terengganu. Mereka memberitahu telah banyak tempat mereka pergi, termasuk ke Gunung Jerai dan melakukan perkara yang serupa. Kaki Bukit Salai tersebut menjadi destinasi terakhir dan penutup buat mereka.

“Tiada apa-apa acara menyembah atau sebagainya, mereka bentangkan kain di tengah jalan itu dan kemudian bergilir-gilir untuk bergambar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tular sejak semalam satu hantaran menerusi akaun Facebook Ratu Kaneka Hyang Isana yang berkongsikan beberapa gambar yang dimaklumkan sebagai Majlis Pertabalan Raja Segala Raja Sedunia.

Majlis tersebut dikatakan berlaku di kaki Bukit Salai, Ulu Jelebu dekat sini pada 2 Februari lalu.

Perkongsian tersebut menimbulkan reaksi pelbagai termasuk daripada warganet malah ada yang menyifatkan ia sesuatu yang menggelikan hati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin ketika dihubungi berkata, pihaknya maklum akan kejadian yang berlaku tersebut namun tidak menerima sebarang laporan polis mengenainya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN