Hadi bimbang ahli Pas tinggalkan parti

Hadi bimbang ahli Pas tinggalkan parti

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terus mencanang mengenai soal kesetiaan dan walak kepada pemimpin, dibuat semata-mata hanya kerana beliau tidak mahu ahli-ahli parti tersebut meninggalkan Pas.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau yakin Abdul Hadi kini menyedari terdapat pergolakan yang berlaku dalam parti itu, terutamanya di peringkat akar umbi apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian semalam.

“Inilah kaedah dilakukan Pas iaitu bercakap mengenai taat, ‘tsiqah’ (percaya) dan walak kepada pemimpin. Abdul Hadi meminta ahli Pas taat kepada keputusan dibuat pemimpin adalah disebabkan beliau sudah dapat melihat akan berlakunya pergolakan  dalam kalangan ahli Pas.

“Ibaratnya ahli-ahli ini seperti penumpang yang resah gelisah dengan perkembangan pemandu bas. Disebabkan pemandu risau penumpangnya turun dan meninggalkan bas tersebut, lalu beliau ingatkanlah penumpang supaya berjaga-jaga kalau mahu turun bas kerana ada jerung akan menyambar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan kalangan petani di Kampung Atas Kota, Sungai Mati, Langgar, di sini hari ini.

Abdul Hadi menerusi laman Facebook rasminya semalam mendakwa, ketika ini terdapat segelintir ahli Pas yang digoda supaya mengubah hala tuju parti itu.

Ditanya mengenai tindakan kepemimpinan UMNO dan Pas yang ketika ini dilihat tidak lagi canggung untuk saling kata-mengata antara satu sama lain, Mahfuz berkata, tindakan itu menjadi bukti akan ‘keceramukan’ yang berlaku dalam kalangan pemimpin politik kerajaan.

“Macam mana mereka boleh tidur sekatil di peringkat Persekutuan tetapi apabila pulang ke rumah emak mentua (negeri-negeri lain), berkelahi mengenai pelbagai perkara. Benda ini sesuatu yang tidak elok kepada imej negara dan akan sentiasa dinilai oleh pelabur-pelabur asing.

“Adalah jelas tidak wujud kestabilan politik dalam kalangan mereka. Pada akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat kerana mereka tidak lagi fokus kepada masalah dihadapi rakyat sebaliknya menumpukan kepada perebutan kuasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, Pakatan Harapan (PH)  kini berada dalam proses perbincangan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi memberi ruang kepada parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Pembahagian kerusi antara PH memang sudah selesai dengan Amanah dan PKR akan bertanding 20 kerusi manakala DAP 16 kerusi. Tetapi rundingan tetap dijalankan bersama MUDA bagi memberi ruang mereka menyertai PRN itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN