SEPANG: ‘Gurauan’ menyuruh rakan sekerja memenuhkan tangki bahan api kenderaan memandangkan dia ingin pergi jauh merupakan petanda akhir Muhamad Hazri Asliyas sebelum meninggal dunia akibat kemalangan pagi tadi.
Bapanya, Asliyas Sulaiman, 60, berkata, gurauan itu disuarakan arwah anaknya itu kepada rakan setugasnya memandangkan pada hari ini dia akan membawa kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memandu kenderaan ke Melaka.
“Malam sebelum kejadian, saya berbual dengannya agak lama di hadapan rumah, tabiat ini jarang dilakukannya, malah ada rakan memaklumkan kepada saya bahawa dia bergurau akan pergi jauh selepas ini. Pada mulanya dia mahu tugasnya digantikan rakan sekerja, namun semuanya mempunyai tugas masing-masing, jadi dia meneruskan tugas hakikinya membawa kakitangan ke Melaka.
“Secara berjenaka dia memaklumkan agar mengisi penuh tangki petrol kerana dia ingin pergi jauh. Ternyata gurauannya itu menjadi kenyataan,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Salak Tinggi di sini.
Asliyas yang merupakan anggota trafik balai polis USJ dan bakal menamatkan perkhidmatannya minggu hadapan reda dengan apa yang berlaku ke atas anak kedua daripada empat beradik itu.
“Sebelum ini dia juga ada memaklumkan kepada mak mentuanya yang datang ke rumah agar membawa isteri dan anak-anaknya pulang ke Serting, Negeri Sembilan, biar dia tanggung susah sendiri di sini seorang.
“Terkejutlah juga dengan apa yang diluahkan, kami menganggap ini adalah gurauan sehinggalah apa yang berlaku hari ini,” katanya yang turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk kampung, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pihak polis membantu memastikan segala urusan berjalan lancar.
Turut hadir mengunjungi keluarga di rumahnya ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM.
Rakan-rakan sekerja arwah dan saudara mara juga dilihat hadir ke rumah untuk melihat jenazah buat kali terakhir.
Terdahulu arwah yang merupakan pemandu kenderaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USIM maut selepas motosikal jenis Yamaha LC yang ditungganginya tersepit di bawah sebuah lori di Taman Desa Casia, Nilai dekat sini pagi ini. https://www.utusan.com.my/terkini/2022/02/lelaki-maut-motosikal-ditunggangi-dilanggar-lori/
Mangsa, Muhamad Hazri, 35, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.
Difahamkan arwah mula bertugas sebagai pemandu di USIM Sejak 2017 dan meninggalkan isteri berumur 35 tahun dan dua anak berusia 15 tahun (lelaki) dan 13 tahun (perempuan). – UTUSAN









