SEREMBAN: Seorang pemandu kenderaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Jalan Persiaran Ilmu, berhampiran simpang Desa Kasia di Nilai dekat sini pagi tadi.
Mangsa, Muhamad Hazri Asliyas, 35, yang dipercayai dalam perjalanan dari tempat tinggalnya di Salak Tinggi, Sepang, Selangor menuju ke tempat kerjanya di USIM.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, apabila sampai ditempat kejadian, secara tiba tiba lori yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun membuat pusingan U dan melanggar mangsa yang berada di sebelah kanan arah sama.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Fazley berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










