Gubal undang-undang anti lompat parti sebelum adakan PRU-15  - Utusan Malaysia

Gubal undang-undang anti lompat parti sebelum adakan PRU-15 

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) mengedarkan bungkusan makanan kepada penduduk di Taman Island Glades, Jelutong, Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Undang-undang anti lompat parti perlu segera digubal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan bagi memastikan    tiada ahli politik yang bertindak melompat parti sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik dalam negara seperti yang berlaku pada masa ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain undang-undang anti lompat parti, pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun juga perlu dilaksanakan sebelum PRU-15.

“Lompat parti ini adalah ibu kepada ketidakstabilan kerana wakil rakyat yang dipilih melompat dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Undang-undang anti lompat parti serta pindaan kepada tempoh masa Perdana Menteri berkuasa perlu dipinda pada sidang Parlimen akan datang kerana dua perkara ini dapat mengelakkan ketidakstabilan politik daripada berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan bungkusan makanan kepada penduduk di Taman Island Glades di sini sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa PRU-15 diadakan segera selepas semakin banyak kecelaruan politik berlaku di dalam negara sehingga menggugat kestabilan Kerajaan Pusat.

Selain itu, penganalisis politik juga berpendapat hanya PRU-15 dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku membabitkan perebutan kuasa antara parti-parti politik.

Menurut Kon Yeow, sekiranya kedua-dua perkara berkenaan tidak digubal serta dijadikan satu undang-undang di dalam negara, apa yang berlaku pada masa ini akan terus berulang walaupun PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

“Saya difahamkan notis mengenai kedua-dua perkara ini telah diedarkan kepada ahli Parlimen parti untuk dibincangkan pada minggu depan. Kita berharap undang-undang ini (anti lompat parti dan had kuasa Perdana Menteri) dapat digubal pada sidang Parlimen Mac atau April ini bagi memastikan tiada ahli Parlimen melompat dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu diadakan di Pulau Pinang memandangkan kerajaan negeri mempunyai sokongan yang kukuh di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tempoh baki kerajaan juga masih ada, jadi kita akan laksanakan apa yang telah dirancang kepada pengundi yang memilih kita pada pilihan raya lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN