KOTA TINGGI: Sekumpulan pembeli rumah Projek Perumahan Generasi Kedua Felda Papan Timur, di sini meminta pihak berwajib membantu menyelesaikan masalah perumahan itu yang tertangguh sejak hampir 10 tahun lalu.
Wakil pembeli, Md. Norhamson Kasa, 46, memberitahu, projek kediaman yang dilaksanakan Felda itu sepatutnya siap pada Disember 2013 tetapi sehingga kini tiada perkembangan.
“Sebagai generasi kedua peneroka Felda, kami dijanjikan rumah berkenaan siap pada 2013 dengan setiap satu unit kediaman dijual pada harga RM100,000.
“Disebabkan projek itu masih tertangguh sehingga kini, kami tiada pilihan selain terpaksa menyewa atau terus tinggal bersama ibu bapa,” katanya ketika ditemui di tapak projek perumahan itu, di sini.
Md. Norhamson yang bekerja sendiri berkata, mereka dimaklumkan masalah kelewatan projek tersebut bukan daripada Felda sebaliknya daripada pemaju utama.
“Selain daripada mahukan tarikh pasti projek ini siap, kami mahu tahu siapa pembeli yang layak kerana rumah itu bukan diberi percuma sebaliknya dibeli,” ujarnya.
Perumahan kerajaan yang merangkumi sebanyak 539 unit kediaman rumah setingkat itu dimaklumkan sudah habis ditempah oleh generasi kedua peneroka Felda berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi generasi kedua Felda, Rospalida Roso, 43, pula memberitahu, dia sekeluarga terpaksa menyewa rumah dengan bayaran RM700 sebulan ketika ini.
“Kami tidak lagi tinggal bersama ibu bapa kerana sudah mempunyai jumlah anak yang ramai iaitu empat orang, jadi kami perlu menyewa,” jelasnya yang bekerja sebagai pembantu kedai.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kami Anak Felda Sungai Mas, Mohd. Faizal Asmar berkata, beliau akan cuba membawakan permasalahan itu kepada pihak berwajib. – UTUSAN ONLINE