KUALA LANGAT: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung tindakan kasar terhadap seorang pemuda berusia 20 tahun pada 15 November lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 39 tahun tiga hari selepas kejadian dan mendakwa memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut.
Katanya, rakaman tersebut menunjukkan mangsa ketika berada di rumah datuk mangsa di Kampung Sungai Ingat, Banting, di sini ditampar oleh beberapa lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis.
“Rakaman CCTV berdurasi tiga minit dan video tersebut menunjukkan anak pengadu didatangi oleh beberapa lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis.
“Kemudian, anak pengadu ditampar beberapa kali oleh anggota polis terbabit dengan tujuan mahu mencari barang bukti. Bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara tersebut berlaku semasa kejadian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Malah, Mohd. Sufian memaklumkan kejadian terhadap lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan p-hailing itu berlaku ketika polis sedang mencari barang kes.
Jelasnya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran.
“Atau menghubungi bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” ujarnya.
Semalam, satu sidang akhbar diadakan oleh peguam, Latheefa Koya mendakwa pemuda bernama Daniel itu dikatakan didatangi oleh beberapa anggota polis kira-kira pukul 3 petang yang memberi alasan kononnya motosikal mereka rosak.
Bagaimanapun, Daniel yang ketika itu berada bersama datuknya ditangkap oleh sekumpulan anggota polis berkenaan sebelum membawanya ke dalam rumah dan secara melulu menuduh pemuda itu adalah suspek dalam satu kes ragut.
Polis dengan tegas mengatakan pemuda berkenaan adalah suspek, lalu dipukul, diterajang, disepak dan ditampar beberapa kali sebelum dibawa Balai Polis Puchong.
Kemudian, di bilik siasatan, Daniel didakwa dipukul sekali lagi dan diterajang, malah puntung rokok yang masih menyala dicucuh ke bibirnya sehingga melecur.
Namun, kira-kira pukul 6 petang, Daniel dibawa ke rumah ibunya, kemudian mengarahkannya mencari bahan bukti dan dalam masa sama polis menunjukkan kepada pengadu kononnya suspek adalah anaknya itu.
Bagaimanapun, gambar Daniel dan suspek didakwa langsung tidak sama.
Malah, pada keesokan hari ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, mangsa mengadu kepada majistret bahawa didera, dipukul dan sebagainya termasuk dibakar di bahagian alat sulitnya sehingga mengeluarkan bau hangit. – UTUSAN










