Gaji 4 bulan tertunggak: Pekerja harap ihsan orang ramai teruskan hidup - Utusan Malaysia

Gaji 4 bulan tertunggak: Pekerja harap ihsan orang ramai teruskan hidup

KOYILVANI Saminathan (tengah) bersama 42 pekerja pembersihan dari 19 sekolah rendah dan menengah hadir dalam perhimpunan aman di hadapan PPD Sabak Bernam bagi menghantar surat tuntutan berikutan mereka sudah hampir empat bulan tidak menerima gaji di Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pinjam cikgu, adik beradik dan terima bantuan daripada jiran antara gantian kepada pendapatan bagi lebih 100 pekerja dari dua syarikat kontraktor pembersihan di 19 sekolah di daerah ini yang sudah hampir empat bulan tidak menerima gaji.

Masalah sedemikian bukan pertama kali berlaku, malah, didakwa sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu apabila kedua-dua syarikat berkenaan dikatakan tidak serius dalam menguruskan gaji dan kebajikan pekerja.

Menurut salah seorang pekerja berusia 53 tahun yang enggan dikenali memberitahu, dia sudah 12 tahun bekerja sebagai petugas pembersihan di sebuah sekolah di sini dan mendakwa masalah mula timbul apabila syarikat kontraktor bertukar.

Katanya, dia bekerja dengan syarikat berbeza pada tiga tahun lalu, namun, sejak bertukar, pelbagai masalah timbul apabila dinafikan pelbagai hak termasuk cuti tahunan, cuti sakit serta faedah lain.

“Kemudian, tiga bulan gaji pula tidak dibayar, sebelum ini, masalah tunggakan berlaku satu atau dua bulan gaji tidak dibayar, masalah sedemikian menyebabkan pinjaman bulanan kereta, sara hidup dan perbelanjaan lain terganggu.

“Setakat ini, hanya harapkan bantuan dan sumbangan cikgu sekolah, jiran dan adik beradik yang memahami masalah kami. Saya pula masih menanggung seorang anak masih bersekolah,” katanya.

Pekerja berkenaan ditemui pemberita ketika menghadiri perhimpunan aman bersama 42 pekerja lain di hadapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam hari ini.

Perhimpunan yang bermula pada pukul 8.30 hingga 10.05 pagi itu turut dikawal 25 pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran lalu lintas.

Dalam perhimpunan tersebut, dua tuntutan kepada PPD supaya bertanggungjawab menyelesaikan masalah tunggakan hampir empat bulan gaji pekerja dari November 2021 hingga sekarang dan menyenarai hitam dua syarikat terbabit apabila penyelesaian gaji dibuat selepas mereka didakwa gagal menjaga kebajikan pekerja.

Sementara itu, seorang lagi pekerja berusia 37 tahun mendakwa terpaksa melakukan kerja sambilan lain seperti mengurus bendang, meracun rumput dan mengait kelapa sawit untuk menampung perbelanjaan bulanan.

“Anak saya masih kecil, baru berusia lima tahun, makan dan susu saya kena sediakan. Isteri suri rumah sepenuh masa dan tidak lagi berniaga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

“Memang risau apabila majikan bermain-main dengan gaji kami, sampai bila hendak harapkan pendapatan daripada kerja sambilan?, memang tak cukup. Mujur tempat kami tinggal sekarang adalah rumah pusaka,” luahnya.

Dalam pada itu, Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), Koyilvani Saminathan berkata, tuntutan juga dihantar kepada PPD untuk mengetahui jika bayaran kepada syarikat kontraktor pembersihan dijelaskan mengikut jadual.

Beliau mendakwa, tindakan majikan daripada kedua-dua syarikat terbabit bertentangan dengan Akta Kerja 1955 apabila gagal melunaskan gaji pada setiap 7 hari bulan.

“Tindakan selepas ini kita akan berbincang dengan pekerja untuk tindakan seterusnya,  tetapi, kami akan bawa perkara ini kepada Kementerian Pendidikan.

“Kementerian atau PPD pasti memegang deposit kontraktor, jadi daripada deposit tersebut, mereka harus selesaikan masalah tunggakan gaji lebih 100 pekerja pembersihan daripada 19 sekolah.

Sementara itu, PPD Sabak Bernam ketika dihubungi mengesahkan menerima surat tuntutan yang dihantar Koyilvani bersama seorang wakil pekerja dan akan menelitinya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya