LAHAD DATU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedang menyiasat dakwaan lebih 10 lelaki bersenjata daripada Filipina menyusup masuk perairan Tambisan baru-baru ini.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, keadaan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) pada masa ini dalam keadaan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Ketika ini, keadaan di kawasan ESSZone baik dan terkawal,” katanya ringkas.
Beliau berkata, pihak ESSCOM masih menjalankan siasatan berhubung laporan yang mendakwa sekumpulan lelaki bersenjata menyusup masuk ke Sabah melalui perairan Tambisan.
Sebelum ini, sebuah agensi berita melaporkan seorang lelaki mendakwa melihat kehadiran lebih 10 lelaki berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lalu.
Lelaki tersebut percaya kesemua individu itu adalah warga Filipina berdasarkan perbualan mereka yang menggunakan bahasa Suluk.