Dua premis judi 'online' digempur - Utusan Malaysia

Dua premis judi ‘online’ digempur

ANTARA individu yang ditahan selepas premis menjalankan operasi judi atas talian digempur polis di Jalan Batu Tiga Lama, Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan judi dalam talian yang berselindung di sebalik sebuah rumah kedai di Jalan Batu Tiga Lama di sini, terbongkar selepas digempur polis semalam.

Serbuan pukul 6.45 petang itu membawa kepada penahanan seramai 14 individu berusia 21 hingga 50 tahun di dalam premis tersebut.

Operasi khas itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil maklumat mengenai kewujudan aktiviti perjudian di rumah kedai tersebut.

“Seramai 11 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita asing ditahan bagi membantu siasatan. Hasil pemeriksaan turut merampas satu unit komputer riba kawalan utama, 13 komputer riba, satu modem dan wang tunai berjumlah RM1,598,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua individu itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, kata Mohamad Noor, pihaknya turut menyerbu sebuah premis judi di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10.45 malam tadi.

“Seramai tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun ditahan dalam operasi berkenaan. Polis antaranya merampas empat komputer riba, telefon bimbit, modem dan wang tunai RM205,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Jelas Mohamad Noor, pihaknya komited membanteras aktiviti perjudian di negara ini dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi Hotline D7 Bukit Aman di talian 016-5773477.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya