PETALING JAYA: Sehingga kini belum ada cadangan rasmi Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub diangkat sebagai calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali merampas Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Salahuddin menyifatkan perkara itu sebagai hanya satu spekulasi yang tidak boleh dihalang dan terpulang kepada mana-mana pihak untuk menimbulkannya.
“Itu orang cakap, saya pun tak pernah cakap perkara itu. Masa saya balik bertanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) orang cakap (calon Menteri Besar). PRU-14 pun orang cakap, jadi spekulasi saya tak boleh halang dan itu terpulang kepada keadaan atau siapa yang nak bercakap calon Menteri Besar.
“Namun, saya rasa saya hanya buat kerja untuk parti dan PH,” ketika ditanya mengenai cadangan rasmi sama ada beliau diangkat sebagai Menteri Besar jika PH mentadbir Johor atau sebaliknya berikutan namanya juga antara disebut-sebut bagi mengisi jawatan itu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu mengakui ramai yang kecewa selepas beliau tidak menjadi menteri Besar sebelum ini.
“Saya tak berani cakap (bersedia atau sebaliknya) kerana apa-apa keputusan calon itu dibuat oleh parti dan parti yang beri keputusan. Yang lepas saya akui ramai kecewa tak jadi Menteri Besar, tetapi peluang diberikan untuk saya menyertai Kabinet sebagai menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mengulas mengenai khabar angin yang mengaitkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar PH, Salahuddin berkata, PH setakat ini tidak pernah berbincang mengenai senarai calon itu secara rasmi.
Dalam perkenmbangan sama, PH Johor sehingga kini belum mengadakan perbioncangan mengenai nama-nama calon Menteri Besar sekiranya pakatan itu kembali mentadbir Johor.
Sebaliknya, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara lebih penting adalah menumpukan kepada kemenangan terlebih dahulukerana PRN kali ini bukan satu perkara yang boleh dilihat mudah untuk kembali mentadbir negeri itu.
“(Setakat ini) belum ada perbincangan untuk calon Menteri Besar, tetapi ramai yang layak dan bukan satu atau dua (individu yang layak), jangan dirisaukan.
“Pada saya tumpu pada kemenangan dan sampai masanya, ramai lagi boleh (dicalonkan sebagai Menteri Besar), saya pun bersedia. Sebab bukan mudah dalam PRN kali ini untuk letakkan nama-nama (calon Menteri Besar) kerana berdepan situasi genting.
“Maknanya dalam keadaan rakyat tidak memikirkan siapa Menteri Besar, tetapi memikirkan kenapa PRN dibuat. Namun mahu tak mahu kena keluar mengundi untuk pastikan pilihan terbaik buat Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE











