Dikecam pelihara anjing, Julia Farhana Marin tampil beri penjelasan - Utusan Malaysia

Dikecam pelihara anjing, Julia Farhana Marin tampil beri penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas menerima kecaman hebat netizen, pelakon Julia Farhana Marin tampil memberi penjelasan berhubung tindakannya memelihara anjing.

Kata Julia, dia dan keluarga memutuskan untuk berbuat demikian selepas anjing bernama Julio itu ditinggalkan gara-gara penyakit kulit yang dialaminya.

“Dia ditinggalkan pada usia dua tahun kerana tidak ada sesiapa mahukannya disebabkan penyakit kulit.

“Saya dan keluarga memutuskan untuk memeliharanya. Kami sudah biasa melatih anjing. Ketika membesar di Australia, ibu bapa saya membela empat ekor anjing. Semua terlatih.

“Menerusi video, kalau perasan dia tak sentuh Ju langsung. Dia takkan jilat dan bukan jenis anjing yang berliur,” tulisnya di Instagram.

Jelas Julia lagi, anjing tersebut tidak berkeliaran dalam rumah dan hanya dibenarkan berada di beberapa kawasan sekitar kediamannya.

“Dia tidak berkeliaran bebas dalam rumah, ada beberapa tempat sahaja. Taman.

“Seperti saya katakan, bilik saya bersambung dengan pintu taman, paling dekat, jadi dia ada akses. Selain daripada itu, tak ada akses,” ujarnya.

Kata pelakon itu lagi, anjing peliharaannya itu cukup terlatih dan tidak sesekali menyentuh dia dan keluarganya.

“Itu bukan isu bagi saya dan keluarga kerana dia (Julio) cukup terlatih.

“Dia tidak akan jilat kami, tidak akan sentuh. Pembantu peribadi (PA) saya yang Muslim pakai tudung pun dia tak pernah sentuh sebab dia (Julio) tahu sendiri yang dia tak boleh sentuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon berusia 27 tahun itu menegaskan dakwaan orang ramai berkenaan kegagalan ibu bapanya dalam membesarkan anak-anak dengan didikan Islam adalah tidak benar.

Katanya dia tidak mahu hiprokit dan sedia maklum dengan tanggungjawab sebagai seorang yang beragama Islam.

“Saya selamatkan seekor anjing dan kami menyayanginya walau apa cara sekalipun.

“Seperti mahkluk lain, Julio berhak disayangi, diterima dan dilayan dengan betul.

“Dia berhak mempunyai tempat berteduh dan keluarga yang menyayanginya,” tekannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN