31 syarikat asuhan kanak-kanak bakal didakwa terlibat kartel penetapan harga

31 syarikat asuhan kanak-kanak bakal didakwa terlibat kartel penetapan harga

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 31 syarikat perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan bakal berdepan tindakan penalti selepas didakwa terlibat dalam kartel penetapan harga.

Ia susulan keputusan cadangan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) selepas syarikat-syarikat terbabit didapati melanggar berkaitan perjanjian yang bertujuan menghalang, menyekat atau memesongkan persaingan pasaran.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, syarikat-syarikat terbabit didapati telah melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(a) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].

Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat-syarikat berkenaan bukan sahaja berbincang, malah bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semasa satu mesyuarat persatuan yang diadakan pada September 2023.

“Keputusan mesyuarat itu kemudiannya disebarkan kepada semua pihak yang hadir melalui satu memorandum, selain diumumkan secara terbuka menerusi akaun Facebook rasmi persatuan terbabit.

“Pengumuman tersebut menyatakan bahawa kesemua pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak telah mencapai persetujuan menetapkan harga lantai yang berkuat kuasa mulai 2024,” katanya.

Tegas beliau, perjanjian tersebut mempunyai objektif jelas untuk menghapuskan persaingan harga secara ketara dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan, sekali gus berpotensi menjejaskan kepentingan pengguna, khususnya ibu bapa dan penjaga.

Bagaimanapun,katanya, keputusan yang dikeluarkan ketika ini hanyalah keputusan cadangan, dan tidak boleh dianggap sebagai penentuan muktamad bahawa syarikat-syarikat terbabit telah melanggar Akta 712 secara konklusif.

“Setiap syarikat yang terlibat telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan serta diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis kepada MyCC.

“Selain itu, syarikat-syarikat terbabit juga akan diberi peluang untuk membuat representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“Bagaimanapun, MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas meneliti sepenuhnya semua representasi yang dikemukakan bersama bukti yang diperoleh sepanjang tempoh siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN