TAMPIN: Peluang terhad dalam sektor pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 mendorong tiga beradik mengusahakan sebuah kedai kopi di Kampung Dusun dekat sini sejak sebulan lalu.
Salah seorang daripada mereka, Muhammad Asyraf Shaifuddin, 28, kedai kopi yang diberi nama Melangok Coffee itu diusahakan bersama dua orang lagi adiknya iaitu, Muhammad Afiq Shaifuddin, 22, dan Muhammad Azim Shaifuddin, 21, hanya di halaman rumah keluarga mereka.
Muhammad Asyraf berkata, keputusan membuka kedai kopi tersebut diambil memandangkan mereka juga mempunyai pengalaman kerja membuat air kopi serta sijil asas barista.
Jelasnya, dibantu modal yang dikeluarkan oleh abang iparnya, Amir Syafiq Ramli, 29, selain dia yang memiliki Sijil Pengurusan Hotel, kedai kopi yang diusahakan bersama itu diharapkan dapat berjaya dan maju.
“Kalau boleh kami adik-beradik mahu sama-sama berjaya dan maju. Kami juga mahu memberi pendedahan kepada penduduk setempat mengenai jenis-jenis kopi yang terdapat di seluruh dunia ini.
“Selain itu, kami berharap dapat mengekalkan suasana kampung bagi perniagaan ini dan pelanggan juga boleh bersantai seisi keluarga menghirup udara segar kawasan persekitaran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, menurut Muhammad Asyraf, Melangok Coffee beroperasi bermula pukul 5 petang sehingga 11 malam.
“Alhamdulillah, baharu sebulan beroperasi, kini kami mampu menjual hampir 100 bekas air kopi pelbagai jenis dan air buah-buahan setiap hari,” katanya. – UTUSAN