BENTONG: Polis menahan seorang wanita tempatan berusia 26 tahun kerana disyaki mencederakan seorang kanak-kanak berusia 10 bulan di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil siasatan polis mendapati, suspek menarik telinga kiri mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian tersebut. Siasatan polis juga mendapati pusat jagaan kanak-kanak tempat wanita itu bekerja tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, suspek ditahan reman sehingga 14 Februari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Sekiranya disabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Jelasnya, orang ramai di daerah ini perlu memastikan anak-anak dihantar ke pusat jagaan yang berdaftar di bawah JKM bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti penderaan. – UTUSAN