SHAH ALAM: Cadangan pembinaan ‘bandar span’ atau sponge city di Shah Alam perlu diteliti terlebih dahulu untuk melihat kesesuaiannya oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, cadangan bagi mengatasi masalah banjir dan pengurusan air itu perlu dikaji dengan terperinci bagi mengelakkan masalah lain berlaku.
“Kita mengalu-alukan sebarang cadangan baik daripada kerajaan pusat atau kerajaan Selangor (sebagai langkah mengatasi banjir).
“Sekiranya ada (kertas kerja) daripada dua kerajaan ini, kita akan buat kajian sama ada ia boleh dibina atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelepasan Pasukan Pemantau Aduan (Task Force) MBSA di Wisma MBSA, di sini hari ini.
Minggu lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan pembinaan bandar span di Shah Alam, sebagai langkah penyelesaian masalah banjir jangka panjang.
Selain pembinaan bandar span, turut dicadangkan pembinaan terowong seperti diuruskan oleh Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart) di Kuala Lumpur dan menambah kolam takungan air turut diketengahkan dalam mesyuarat berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas berhubung penubuhan pasukan Task Force, Zamani memaklumkan pasukan tersebut ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah berdasarkan aduan yang dibuat oleh penduduk Shah Alam.
Menurutnya, dengan penubuhan pasukan tersebut, aduan yang diterima daripada penduduk di kawasan itu dapat diselesaikan oleh anggota terlibat dalam tempoh 24 jam.
“Kita menerima banyak aduan, terutama sekali daripada mangsa banjir berhubung masalah yang menjadi tanggungjawab MBSA untuk selesaikan.
“Oleh demikian, sebanyak 12 pasukan ditubuhkan dan telah dibahagikan kepada beberapa zon di bawah kawasan pentadbiran MBSA bagi mendapat aduan dengan lebih cepat daripada penduduk,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE