PUTRAJAYA: Segala cadangan berhubung peruntukan perundangan antilompat parti akan dibentang kepada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dipengerusikan bersama wakil kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembentangan itu bagaimanapun dilakukan setelah dimurni dan dimuktamadkan dengan semua pihak yang berkepentingan.
Ia susulan sesi libat urus bersama ahli-ahli Parlimen dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi mendapatkan maklum balas mereka yang diadakan di Parlimen hari ini dan semalam. Sesi berkenaan turut menerima input berhubung cadangan bagi pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama hanya tempoh dua penggal atau maksimum lima tahun sahaja.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, sesi itu dilakukan selepas perbincangan membabitkan panel Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik dibuat pada 25 Januari lalu.
“Ketetapan dasar yang dicadangkan jawatan kuasa itu kemudian dibentang kepada ahli-ahli Parlimen untuk melihat pandangan mereka pula bagi tujuan penambahbaikan,” jelas beliau.
Wan Junaidi yakin dua sesi tersebut dan sesi-sesi akan datang itu bakal dapat mampu memberi penerangan dan maklumat secukupnya kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Pada masa yang sama, selain pengukuhan inisiatif dwipartisan, sesi itu juga akan memastikan cadangan peruntukan isu tersebut disokong dan dipersetujui di Parlimen kelak,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE