PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada sindiket judi dalam talian agar berhenti segera tindakan menyalahgunakan nama pucuk kepimpinan PDRM demi melariskan kegiatan haram mereka.
Malah, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sindiket perjudian dalam talian yang kononnya mendapat kebenaran untuk beroperasi daripada pihak atasan PDRM.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya memandang serius kegiatan sindiket judi dalam talian itu yang menyalahgunakan nama PDRM untuk aktiviti mereka dan memperdaya orang ramai.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat dan risikan yang telah dijalankan termasuk aduan awam yang diterima mendapati sindiket perjudian ‘online‘ telah kembali beroperasi malah semakin berani mendakwa mereka mendapat kebenaran untuk beroperasi di premis-premis komersial di tingkat atas.
“Pihak kami tidak pernah sesekali memberikan lampu hijau kepada mana mana sindiket yang menjalankan aktiviti judi dalam talian ini untuk beroperasi. Kami memandang serius tindakan sindiket judi online ini yang berani mendakwa kononnya pihak atasan PDRM memberi lampu hijau untuk kegiatan haram mereka kepada awam dan semakin kebal melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.
“Kami memberikan amaran keras kepada sindiket itu agar menghentikan perbuatan mereka (salah guna nama polis) dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi ke atas mereka yang kini dipantau secara rapat setiap gerak geri aktiviti mereka,” katanya dalam sidang akhbar kejayaan operasi judi dalam talian sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abd. Jalil menjelaskan, untuk menghapuskan aktiviti perjudian dalam talian secara keseluruhannya adalah satu cabaran yang besar bagi PDRM kerana kegiatan itu masih wujud disebabkan adanya permintaan orang ramai.
Jelas beliau, ini lebih-lebih lagi kemudahan untuk melayari laman sesawang merupakan faktor kepada pertambahan sindiket perjudian ‘online‘.
“Sindiket perjudian online juga dipercayai sengaja mengadakan cerita bahawa telah mendapatkan kebenaran beroperasi daripada pihak atasan PDRM bagi menakut-nakutkan petugas PDRM yang mahu mengambil tindakan seperti pemeriksaan dan serbuan terhadap aktiviti perjudian.
“Penggunaan nama pihak atasan juga dipercayai untuk memberi tarikan dan jaminan kepada pemain atau pengunjung untuk bermain judi di premis tersebut yang dipercayai kebal daripada pihak berkuasa.
Tambahnya, bermula pada 15 Januari lalu, pihaknya menjalankan Op Dadu Khas bertujuan utama memastikan aktiviti perjudian online dapat dihapuskan secara total seterusnya memberikan tekanan kepada sindiket perjudian dalam usaha dalam membanteras kegiatan perjudian dalam talian yang wujud di negara ini.