Sabah cadang buka sempadan negara dengan SOP ketat - Utusan Malaysia

Sabah cadang buka sempadan negara dengan SOP ketat

JAFRY ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembukaan sempadan negara yang dijangka bermula 1 Mac ini perlu disusuli dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengekang penularan varian Omicron di negara ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, walaupun Sabah menyokong penuh cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang mengesyorkan pintu sempadan negara dibuka tanpa perlu kuarantin wajib namun, SOP yang lebih ketat perlu disediakan.

Beliau berkata, sektor pelancongan Sabah bergantung kepada pasaran antarabangsa maka, pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin.

Walau bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan perlu memperincikan SOP yang lebih jelas kepada pemain industri bagi memastikan mereka bersedia sebelum sempadan negara dibuka kelak.

Dalam pada itu, kementeriannya turut bersedia mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal sekali gus merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.

Jafry juga menasihatkan pelancong luar yang mahu masuk ke Sabah untuk mengambil pelan perlindungan insurans untuk pelancong yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan Covid-19.

“Matlamat sekarang ini adalah kita mahu membuka sempadan agar industri pelancongan kembali hidup. Pada masa sama, kita mahu memastikan agar penularan Covid-19 dapat dikawal,” katanya.

Sehingga kini, kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik sahaja.

Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura (VTL) juga masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan di Sabah.

“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan industri pelancongan dan kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di negeri ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN