PETALING JAYA: Dakwaan wujudnya pihak tertentu melobi kerajaan dengan hanya membenarkan 25 syarikat membawa masuk pekerja asing dari Bangladesh tidak mengejutkan kerana ia pernah berlaku.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi mendakwa, hanya 10 syarikat dibenarkan mengambil pekerja asing pada 2016 sehingga mewujudkan monopoli.
Namun, katanya, dengan 25 syarikat, ia mewujudkan situasi baharu iaitu oligopoli yang menyebabkan tindakan salah satu syarikat terpilih itu boleh mempengaruhi harga pasaran dan mempunyai kesan ketara ke atas pesaingnya.
“Dulu 10, sekarang 25 syarikat, ini sudah jadi oligopoli. Tidak ada masalah kalau mahu benarkan 25 syarikat sahaja tetapi mereka perlu pastikan tidak membebankan kewangan pekerja.
“Waktu sistem 10 syarikat diamalkan pada 2016, pekerja Bangladesh membayar RM18,000 ke RM20,000 (untuk jadi pekerja di Malaysia). Kalau dengan pembayaran sebegitu besar, katakan mereka dapat pendapatan RM1,500 sebulan, maksudnya mereka bekerja penuh satu tahun tanpa belanja satu sen untuk dapat balik wang yang mereka bayar,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. N. Sukumaran mendedahkan kepada Utusan Malaysia bahawa ada pihak tertentu sedang melobi untuk meminta kerajaan supaya membenarkan 25 syarikat sahaja membawa masuk tenaga pekerja asing dari negara Bangladesh.
Katanya, tuntutan itu masih digerakkan pihak tertentu dari Malaysia dan Bangladesh, dengan berkomplot untuk memonopoli kemasukan pekerja dari Bangladesh selepas kerajaan mula membenarkan pengambilan sumber manusia dari luar negara untuk mengisi kekosongan sektor tertentu.
Justeru, kata Yong Hooi, kebenaran pengambilan pekerja asing seharusnya dibuka kepada semua pihak, bukan syarikat tertentu sahaja.
“Ini satu perniagaan, pertandingan terbuka. Kalau buka kepada semua barulah adil, ini tidak adil dan adalah eksploitasi,” katanya.
Namun, beliau memahami mengapa hanya 25 syarikat dibenarkan, memandangkan ejen dari Bangladesh bertindak membuka agensi pekerjaannya sendiri di Malaysia sehingga memberi kesan agensi pekerjaan tempatan.
“Kalau nak pertandingan terbuka, Kerajaan Bangladesh juga harus mengambil tindakan tegas terhadap ejen Bangladesh yang datang ke Malaysia merebut bisnes agensi pekerjaan swasta Malaysia.
“Ejen mereka datang buat bisnes di sini menyebabkan peluang orang tempatan dicuri, ini tidak adil,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, Papa memperjuang prinsip untuk tidak membebankan pekerja dari segi kewangan dan pengambilan pekerja harus melalui agensi pekerjaan Bangladesh dan Malaysia bagi menjaga kebajikan pekerja.
“Oligopoli tidak harus menjadi satu alat untuk cari wang tanpa berusaha. Jangan jadikannya alat mencari keuntungan, ini tidak etika dan menjadi beban kepada pekerja.
“Sekarang juga sudah wujud satu trend dengan mengadakan satu platform untuk tujuan monopoli atau mengutip yuran yang tinggi bagi menyenangkan proses pengambilan pekerja. Papa khuatir dengan trend ini dan orang politik harus menghalang benda ini berlaku demi kepentingan rakyat dan kalangan bisnes,” katanya. – UTUSAN