BN akan rampas Paloh - Utusan Malaysia

BN akan rampas Paloh

HASNI Mohammad ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pusat Operasi Zon Barat. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) akan memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang dimenangi DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menjadi milik mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, parti akan pastikan usaha bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali untuk mempertahankan kerusi itu kecundang.

“Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) memberitahu calon mereka akan pertahankan kerusi DUN Paloh yang dimenangi dahulu sebagai paluan gendang pertama untuk PRN Johor.

“Kita akan pastikan calon itu (Sheikh Umar) akan mendengar paluan gendang terakhir buat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pusat Operasi Zon Barat, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan merangkap Pengarah PRN Johor.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan Sheikh Umar yang juga Naib Presiden DAP Johor yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) bakal merebut kembali kerusi itu dalam PRN Johor nanti.

Setiausaha Agung DAP itu dilaporkan berkata, pemilihan Sheikh Umar adalah tepat berikutan prestasinya yang memenangi kerusi Paloh pada PRU-14 yang lalu.

Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, PRN Johor dilakukan bukan kerana apa yang berlaku di PRN Melaka mahupun di PRN Sarawak sebaliknya demi mahukan Johor mendapat lebih baik daripada apa yang ada ketika ini.

Katanya, langkah mengadakan PRN di negeri ini untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil dan bukannya berterusan mengharapkan ihsan pembangkang.

“Johor bukan negeri biasa-biasa, Johor bukan negeri yang perlu bertanya atau rujuk pembangkang untuk membuat sesuatu. Jadi, kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan terus menggerakkan jentera kita. Kita perlukan Johor kembali seperti sedia kala yang menjadi negeri penting dalam negara seperti suatu masa dahulu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN