BN akan kembali jadi gergasi politik

BN akan kembali jadi gergasi politik

AHMAD Zahid Hamidi (tiga kiri) bersama Joseph Kurup (dua kiri) melakukan simbolik perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan PBRS di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan kembali bangkit sebagai gergasi politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, di peringkat negeri Sabah, kombinasi kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dan rakan lain dalam komponen BN akan membolehkan BN di Sabah kembali kukuh.

Ketika ini terdapat beberapa parti yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan BN dan situasi ini menunjukkan mereka yakin BN sudah kembali bangkit.

“Saya meletak keyakinan kepada Arthur untuk sama-sama membantu BN di Sabah. Saya memberi jaminan PBRS tidak perlu meminta jawatan senator mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jika PBRS memberi sumbangan besar dalam Dewan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang, tidak payah minta kerana jawatan itu akan datang sendiri,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini.

Hadir sama ialah Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Justeru, jentera PBRS harus bekerja keras memastikan kejayaan calon PBRS pada PRU15 bagi membuktikan PBRS dan BN di Sabah kekal relevan.

Mengulas lanjut katanya, beliau meletak azam untuk menjadikan BN kembali menjadi parti dominan dan diperkasakan semula pada PRU15. Namun, ia boleh dilakukan sekiranya kepimpinan semua parti diperkasakan.

Maka, jangan ada tikam-menikam berlaku dalam parti dan semua komponen perlu bekerja keras secara bijak untuk memastikan kemenangan BN pada PRU-15.

Jelas beliau, hanya dengan kepiminan BN sahaja dapat stabilkan semula politik di negara ini.

Tambah Ahmad Zahid, landskap politik negara ketika ini sudah berubah apabila 5.8 juta pengundi muda akan mula mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

Justeru, semua komponen parti tidak boleh lagi bergantung kepada kempen secara konvensional sebaliknya, perlu menguna pakai teknologi baharu seperti telefon pintar untuk menjayakan kempen.

Beliau menasihatkan PBRS agar tidak terlalu bimbang dengan bilangan ahli yang tidak ramai. Mereka perlu pergiatkan usaha mendekati pengundi muda mengunakan teknologi baharu. Jika tidak berubah, sesebuah parti itu akan rebah.- UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN