Bimbang penternak mogok bekal ayam hidup - Utusan Malaysia

Bimbang penternak mogok bekal ayam hidup

KEKURANGAN bekalan ayam standard membangkitkan keresahan dalam kalangan pengguna di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga ayam di pasar awam di negeri ini sekali lagi dibebani dengan isu kekurangan bekalan ayam standard sehingga terpaksa menutup operasi perniagaan tiga jam lebih awal berbanding sebelum ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia di pasar awam di daerah Barat Daya serta Timur Laut di sini kelmarin mendapati, rata-rata peniaga mula berkemas dan membersihkan premis sekitar pukul 9 pagi.

Operasi perniagaan ayam di pasar awam kebiasaannya bermula pada pukul 6 pagi dan tutup kira-kira pukul 12 tengah hari.

Di pasar raya mini dan besar pula, bekalan ayam dikatakan hanya terhad pada suatu tempoh tertentu serta bergantung kepada kuantiti diperoleh.

Seorang peniaga ayam di pasar awam daerah Barat Daya yang mahu dikenali sebagai Din, 45, berkata, dia terpaksa menjalankan operasi perniagaan kurang empat jam sehari berikutan kekurangan bekalan ayam standard sejak awal minggu ini.

Menurutnya, bekalan ayam yang diperoleh hanya cukup disediakan untuk tempahan awal pelanggan tetapnya dan bukan kepada pengunjung pasar.

“Saya diibaratkan seperti berniaga sambil menderma. Untungnya tidak nampak tetapi sedaya upaya mahu membantu menunaikan permintaan pelanggan,” katanya di sini.

Seorang lagi pengusaha ayam yang juga mahu dikenali sebagai Rashid, 48, berkata, dia terpaksa menutup operasi perniagaan sejak Rabu lalu berikutan ketiadaan stok ayam dari kilang.

Menurutnya, situasi terputus bekalan itu pertama kali berlaku pada musim perayaan sepanjang lebih 15 tahun dia mengusahakan perniagaan ayam di pasar awam.

Dakwanya, permintaan tinggi terhadap barangan keperluan itu dalam kalangan pelanggan terutama pihak pengilang ketika ini berkemungkinan memaksa pengusaha ladang menghentikan sementara tempahan ternakan tersebut.

“Kuantiti ayam hidup di ladang semakin berkurangan termasuk belum matang. Kebarangkalian ini juga menyebabkan pihak peladang menyekat jualan buat masa ini bagi menunggu tempoh matang ternakan itu,” tambahnya sambil meluahkan kebimbangan kemungkinan berlaku ‘mogok ayam’ dalam kalangan penternak susulan isu harga ayam di pasaran ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN