Biar Pas Johor pilih MN atau PN - Utusan Malaysia

Biar Pas Johor pilih MN atau PN

KAMARUDIN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas Johor perlu diberikan kelonggaran untuk menzahirkan pendirian mereka berhubung kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).

Cadangan itu dilontarkan bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek yang tidak mahu melihat kegagalan parti itu di negeri ini berulang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin itu berkata, kepemimpinan negeri lebih mengetahui parti mana yang sesuai untuk menjalinkan kerjasama, terutama semasa berada dalam kerajaan negeri selepas PRN nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Johor, Pas hanya menang satu kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tapi kalau kita buat keputusan yang tidak menguntungkan, bukan setakat satu kerusi tidak dapat dipertahankan, malah tidak mustahil tewas semua yang ditandingi.

“Saya tidak mahu Pas di Johor mengalami nasib yang sama seperti PRN Melaka. Lapan kerusi yang kita tandingi dan kita tewas kesemuanya.

“Sudah tentu ahli akar umbi tidak mahu nasib parti di Johor sama seperti di Melaka. Kita mesti nak tambah daripada sekadar menang satu kerusi, sekurang-kurang menang antara empat atau lima setidak-tidaknya,” katanya.

Tambah Kamarudin, pucuk pimpinan tertinggi parti perlu menganalisis maklumat daripada Pas Johor, gabungan mana lebih menguntungkan sama ada PN atau MN.

Menurutnya, keputusan PRN Johor amat penting untuk Pas bagi menghadapi PRU-15 kerana kegagalan bakal menjejaskan imej parti.

“Rundingan masih boleh diteruskan sebelum penamaan calon. Apa sahaja boleh berubah dan saya harapkan sesuatu dapat dicapai bagi menyelamatkan parti, asalkan jangan kita rugi dalam PRN Johor nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×